Friday, January 8, 2010

LETER-LETER DRAMA (25)



DRAMA RADIO BERSEMARAK KEMBALI DI RADIO KEDAH (KEDAH FM)

ALHAMDULILLAH. Itulah yang mampu Abang Ad ucapkan. Kelmarin (07/01/2010) jam 10 pagi Abang Ad dijemput bertemu dan berbincang dengan Pengarah Penyiaran Kedah; En. Md Radzi Bin Lim mengenai penerbitan drama untuk siaran KedahFM. Turut sama dalam perbincangan ialah dua orang pegawai KedahFM iaitu YM Tengku Abdullah Tengku Ahmad (TATA) dan Puan Khadijah Ismail selaku penerbit serta dua orang penulis yang enggan nama mereka disiarkan.

Dalam perbincangan tersebut KedahFM berhasrat untuk menerbitkan drama pendek yang durasinya antara lima ke tujuh minit selama tiga hari berturut-turut. Hari yang dicadangkan ialah Selasa, Rabu dan Khamis bersiaran jam 8.15 pagi dan siaran ulangannya jam 4.15 petang hari yang sama. Tarikh dan masa siaran tersebut mungkin berubah mengikut kesesuaian dan keputusan muktamad pihak Kedah FM.

Perbincangan dua jam dalam suasana mesra dan santai telah memutuskan bahawa Batu Tiga Simpang Empat dijadikan tajuk rancangan tersebut. Berlatarkan suasana kampong menggunakan dialek Kedah. Tajuk itu dipilih kerana batu membawa erti keras dan bersemangat. Tiga membawa erti tiga sahabat berlainan etnik iaitu Cikgu Salleh, Maniam dan Ah Chuan. Simpang empat membawa erti simpang dan liku-liku kehidupan seharian yang akan diutarakan melalui rancangan tersebut berkonsepkan 1Malaysia.

Abang Ad rasa gembira kerana diberi penghormatan untuk menulis episod pertama hingga tiga yang akan disiarkan awal bulan Februari kelak.

Mengambilkira bahawa drama radio adalah salah satu wadah penyampaian maklumat berkesan terhadap rakyat dan pendengar, KedahFM mengambil langkah tepat untuk mengembalikan kegemilangan drama radio seperti yang pernah disiarkan suatu masa dulu melalui corongnya iaitu Serambi Pak Ndak, Keluarga Encik Mohamad dan lain-lain.

Sebagai seorang pencinta drama radio Abang Ad sokong sepenuhnya usaha KedahFM dan sanggup bekerjasama samada sebagai penulis skrip atau memberi khidmat nasihat.

Diharap peminat-peminat drama radio di kawasan Utara khususnya, nantilah kemunculan Batu Tiga Simpang Empat melalui corong KedahFM bermula Februari ini setelah lebih sepuluh tahun stesen berkenaan tidak menyiarkan drama sedemikian. Berilah sokongan anda demi memartabatkan seni tanahair.


4 comments:

ZiRa said...

abah...chaq ada blog jugak...

ZiRa said...

awat abah boh gambaq amad kat profile abah tu...nanti org ingat blog budak2...huhuhu

Anonymous said...

belajar banyak

Anonymous said...

tahniah.salam perkenalan dari orang langkawi di india:)

Related Posts with Thumbnails