Saturday, December 19, 2009

LETER-LETER DRAMA (24)


NOSTALGIA KENDURI KAHWIN DAN PERSEMBAHAN SENI.

Semasa Abang Ad kanak-kanak, jika ada kenduri kahwin dikampung, seperti kanak-kanak lain, Abang Ad cukup seronok. Seronok kerana bukan senang nak dapat makan daging dan masakan-masakan yang enak kerana keluaga kurang mampu. Kenduri zaman dulu bukan macam sekarang, pantang ada cuti terutamanya musim cuti sekolah, hari-hari ada kenduri. Zaman kanak-kanak dulu oleh sebab Abang Ad hidup dikampung yang kelompoknya rata-rata petani yang mengusahakan sawah; termasuk bapa Abang Ad juga, maka kenduri kahwin akan diadakan selepas selerah musim menuai. Zaman itu musim menuai cuma setahun sekali bukannya dua kali setahun atau lima kali dua tahun seperti sekarang. Kalau ada anak teruna yang teringinkan mana-mana anak dara kenalah tunggu setahun baru boleh kahwin sebab belanja kahwin dan kenduri kendara semuanya bergantung dari hasil tuaian padi.

Kenduri zaman itu cukup meriah. Jamuannya diadakan pada sebelah siang dan malam. Lagi beberapa minggu hendak kenduri beras dah habis entah berapa gantang kerana dijamu kepada jiran tetangga yang datang menolong mendirikan bangsal memasak yang dipanggil kedohok. Kedohok diperbuat daripada buluh beratapkan nipah. Juga membuat tempat jamuan berupa sebuah pentas besar yang dipanggil balai. Balai ini juga diperbuat daripada buluh beratapkan nipah dan berlantai papan yang mana tiang sebelah bawahnya adalah batang kelapa. Balai ini biasanya adalah tempat jamuan untuk tetamu lelaki manakala tetamu perempuan akan dijamu diatas rumah atau dibawah rumah yang dihampar tikar sebagai pengalas tempat duduk.

Buluh, batang kelapa dan daun nipah amatlah penting. Sebab itulah pokok-pokok tersebut amat mudah didapati dikampung-kampung ketika itu.

Pelaminnya pula dihias indah diruang tamu diatas rumah. Bunga rampai dan bunga telur juga dibuat sendiri daripada kertas berwarna yang dipanggil kertas bunga atau diperbuat saja dari kertas surat khabar. Batang buluh yang diracik diraut untuk menggantung telur dicacakkan dibatang pisang. Bunga telur disapu perada untuk kelihatan berkilat-kilat. Kerja-kerja tersebut dilakukan oleh orang-orang perempuan manakala orang lelaki membelah kayu api dan lain-lain kerja berat. Semuanya itu perlu dibantu oleh jiran tetangga. Semua kerja-kerja waktu itu dilakukan secara bergotong royong hinggalah selesai kenduri kendara.

Pengusung dibuat daripada buluh dan dihias indah untuk mengusung pengantin lelaki ketika berkunjung kerumah pengantin perempuan. Ketika berada diatas pengusung, pengantin lelaki segak berseri persis seorang raja. Patutlah dipanggil raja sehari!

Seminggu sebelum kenduri diadakan, tuan rumah akan menjemput semua orang kampong untuk mengadakan mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut tuan rumah akan membentangkan berapa ramai tetamu dijemput, berapa ekor lembu atau kerbau dan ayam diperuntukkan dan perbincangan mengenai susun atur kerja dan sebagainya bagi melancarkan perjalanan kenduri. Pekerja yang paling penting didalam majlis kenduri ialah ketua tukang masak yang dipanggil Tok Gerau dan ketua mengangkat hidangan makanan yang dipanggil Ketua Mentara. Mereka akan melantik orang-orang mereka masing-masing bagi membantu melancarkan kerja.

Sehari sebelum kenduri diadakan, orang-orang perempuan sibuk mengadakan persiapan terakhir seperti menyiang bawang, menumbuk kerisek dan sebagainya.

Pada hari kenduri, lembu atau kerbau dikorbankan. Pagi-pagi para pekerja yang bertungkus-lumus dijamu sarapan pagi dinamakan nasi serok selalunya pulut kukus dimakan bersama ikan kering dan kelapa parut. Kueh-mueh juga bermacam-macam jenis. Semua kueh tradisional seperti wajik atau dipanggil pulut kacau, karas, bauhulu, dodol, peneram dan lain-lain. Kueh-mueh ini akan dijaga oleh seorang petugas khas yang selalunya dibuat satu tempat khas yang dipanggil para yang terletak ditibar layar rumah. Selalunya para ini telah disediakan semasa rumah tersebut mula-mula didirikan. Para ini dipanggil “para buang”. Sebab dipanggil para buang kerana barang-barang yang jarang digunakan disimpan disitu.

Untuk mendapatkan bekalan air, ia perlu diangkut atau dikandar menggunakan dua tin bekas minyak masak. Airnya pula diambil dari telaga yang terletak tidak begitu jauh dari rumah. Pengandar yang dilantik ialah mereka yang berbadan sasa.

Bagi menghiburkan tetamu pertunjukkan silat dipersembahkan. Jamuan makan pula lauk-pauknya dihidangkan didalam talam untuk dimakan tiga atau empat orang satu hidang. Resipi lauk-pauknya selalunya gulai daging, ayam masak korma, acar rampai, acar limau, paceri nanas atau terung dan kadang-kadang ikan masak kicap untuk mereka yang tidak makan daging atau ayam. Masakan dulu-dulu memang sedap dan tidak menggunakan banyak serbuk perasa seperti sekarang yang mendatangkan pelbagai penyakit.

Jika ada mana-mana orang yang akan mengadakan kenduri pada tahun berikutnya mereka akan berbincang dengan tuan kenduri untuk “menanam kueh”. Berpuluh-puluh talam kueh pelbagai jenis yang disediakan orang kampong akan dihantar kerumah kenduri dan akan dibawa oleh anak-anak muda seorang satu talam berjalan secara konvoi diiringi dengan ramai orang. Rombongan ini dipanggil “hantar pengusung”. Hantar pengusung dilakukan sekitar jam 2 petang. Mengepalai rombongan ialah sebuah pengusung yang diperbuat daripada buluh dihias indah diusung oleh pemuda-pemuda sasa. Diatas pengusung diletakkan beberapa talam kueh dan ketua pengusung berada disitu.

Dihadapan pengusung ialah seorang pendekar yang membawa bendera merah yang memakai lilit kepala dan lilit pinggang serta tidak berbaju yang mana badannya berminyak bermandi peluh akan menunjukkan kependekarannya bila tiba dirumah kenduri kelak. Bila sampai dirumah kenduri, seorang pendekar pihak tuan rumah akan menunggu disana. Mereka akan bersilat, bergomol, berhempas diselangseli dengan aksi lawak yang mencuit hati orangramai.

Pada sebelah malamnya, bagi golongan yang berada mereka akan menjemput kumpulan wayang kulit, ghazal parti atau hadrah (sama seperti persembahan bangsawan) mengadakan persembahan. Bagi yang kurang mampu, wayang pacak jabatan penerangan dipanggil untuk memeriahkan suasana atau sekurang-kurangnya disewa sebuah televisyen diletakkan diatas balai untuk tontonan orangramai.

Sebelum persembahan wayang kulit atau ghazal parti ditamatkan, pengantin akan disandingkan untuk tatapan penonton. Ada juga persandingan kedua mempelai diadakan jam 4 pagi. Selepas majlis bersanding, bunga telur dan bungkusan kueh akan diberikan kepada semua yang hadir.

Perkara paling menarik bagi Abang Ad pada hari kenduri ialah sebelum jamuan makan dihidangkan untuk para jemputan, jamuan untuk kanak-kanak diadakan terlebih awal iaitu sekitar jam 1 tengahari dan jamuan sulong untuk semua jemputan diadakan selepas Zohor.

Demikianlah penghargaan terhadap kanak-kanak ketika itu. Semasa kanak-kanak sedang menikmati makanan, seorang dua orang dewasa mengawasi untuk menambah lauk-pauk atau nasi kepada mereka.

Atas penghargaan, penghormatan dan kasihsayang seperti itu, agaknyalah sebab itu kanak-kanak sezaman Abang Ad atau yang sebelumnya hormat dan takut terhadap orang-orang tua. Mereka tidak berani melakukan perkara buruk dihadapan orang tua. Bila berjumpa dengan orang tua, mereka hormat; mereka menegur. Jika orang itu minta sampai salam pada ibubapa mereka, mereka akan sampaikan salam tersebut.

Begitu juga kalau anak orang lain membuat salah dan diberitahu kepada ibubapanya, mereka tidak marah pada orang yang memberitahu sebaliknya mengucapkan terimakasih kerana mengambil berat hal akhlak anak mereka. Tapi orang sekarang tidak begitu!
Satu lagi perkara menarik ialah orang dulu-dulu amat menghargai seni dan adat resam. Persembahan silat, wayang kulit, ghazal parti dan hadrah adalah persembahan seni yang sering diadakan ketika kenduri perkahwinan.

Walaupun begitu persembahan berzanji, marhaban dan dikir bardah diadakan pada sebelah siang. Satu perkara wajib sebelum jamuan diadakan ialah tahlil dan doa selamat diadakan untuk memberkati majlis. Semasa tahlil dan dia selamat semua petugas berhenti untuk sama-sama menyertai majlis tersebut.

Jika tidak diadakan persembahan wayang kulit, ghazal parti atau hadrah, bacaan Al Quran akan dipersembahkan oleh qari dan qariah tempatan diselangseli dengan persembahan nasyid. Malam berinai iaitu malam sebelum kenduri selalunya diadakan majlis qatam Quran.

Melihat persembahan hadrah iaitu satu persembahan seperti bangsawan yang mana diselang seli dengan persembahan lawak jenaka menguatkan semangat Abang Ad untuk menulis cerita. Abang Ad berangan-angan alangkah seronoknya kalau Abang Ad dapat menulis satu cerita untuk persembahan hadrah. Cerita-ceritanya ialah adaptasi dari cerita sejarah Melayu seperti cerita Hang Tuah atau cerita-cerita lisan. Cerita yang menarik minat Abang Ad ialah cerita Si Buruk dan Awang Lotong.

Pelawak-pelawak ghazal parti dan hadrah ketika itu yang Abang Ad masih ingat ialah Hasan Putu Mayong, Husin Kacong, Kasim Botak Khan. Saad Bubur Kacang, Hasan Keropok, Pak Kob Lawak, Kak Chah, Non Pendek dan beberapa lagi.

Itulah nostalgia Abang Ad ketika zaman kanak-kanak. Apa yang Abang Ad kagum ialah perhargaan orangramai terhadap persembahan seni ketika itu. Rata-rata persembahan mendapat sambutan menggalakkan. Mungkin selain wayang gambar itu sahaja hiburan yang ada ketika itu.

Sesungguhnya zaman tersebut sudah jauh berbeza dengan ketika ini. Kadang-kadang sebak hati Abang Ad bila mengenangkan itu semua. Inilah yang dikatakan Kenangan Mengusik Jiwa......

3 comments:

abang said kulim said...

tulisan abang ad mengembalikan nostalgia semasa saya kahwin dulu. satu perkara yang abang ad lupa sebut ialah tok tukang (mak andam). walaupun apa pun terima kasih atas tulisan abang.

Sha Taiping said...

Ini first time saya dengar orang bersanding pukul 4 pagi. catatan ini memang menarik. kalau tidak saya pun tak tahu cerita kahwin orang dulu-dulu. thank you bang.

Shima said...

knduri kawen mmg best. Buatla kenduri, jemput kite orang masti datang!!!

Related Posts with Thumbnails