Sunday, August 9, 2009

LETER-LETER DRAMA (18)


AWAT, IDEA KITA TAK BAGUIH KA?

Kalau anda pernah menonton filem Sleeping Beauty, I Know What You Did Last Summer atau siri TV bertajuk Secreto de Amor yang wataknya bernama Maria Clara (sekadar contoh) anda tentu teringat bahawa gambar Melayu pun ada juga cerita begitu. Hebat betul cerita Melayu sampai orang putih pun tiru!

Kalau cerita lagenda seperti Aladdin atau cerita-cerita dari Tales Of Arabian Nights tak kisahlah kalau Melayu pun ada buat cerita, orang putih pun ada, Hindustan pun ada. Begitu juga dengan kisah Badang,Tanggang atau Bawang Putih Bawang Merah kita pun ada cerita, Indonesia pun ada cerita. Tapi kalau bukan cerita lagenda, orang putih pun ada, kita pun ada rasa pelik jugalah.

Kalau sesuatu cerita itu benar-benar perlu ditiru kerana ceritanya cukup menarik dan bagus tiada tandingannya serta wajib ditonton oleh semua warga Malaysia untuk dijadikan panduan dan pengajaran, Abang Ad cadangkan kita tulis saja besar-besar: Cerita ini ditiru dari filem sekian sekian keluaran syarikat sekian sekian. Penonton pun tak rasa tertipu dan tak rasa nak marah. Kalau kena saman kerana tak minta kebenaran pun mungkin dendanya ringan kot sebab kita dah beri credit title!

Cakap fasal persamaan jalan cerita beserta plotnya sekali jarang berlaku secara kebetulan. Tentu berlaku adaptasi atau lebih mudah lagi ditiru! Kalau kita hanya meniru konsep saja rasanya boleh lagi diterima. Tapi kalau tiru jalan ceritanya termasuk babak dan dialognya sekali bagaimana pula?

Kita sudah terlalu kontang ideakah hinggakan sanggup mencedok cerita orang lain yang seolah-olah dialih bahasa? Bukan sekadar cerita orang putih malah filem-filem Hong Kong juga menjadi mangsa adaptasi penulis skrip dan pengarah filem kita. Dimana maruah kita?

Kalau produk tidak tulin, orang akan tahu!. Jadi lebih baiklah kita tak usah meniru. Kita buatlah dengan idea kita sendiri. Kita buatlah cerita mengenai masyarakat kita. Atau kalau kita mahu pergi lebih jauh, mahu buat filem bertaraf antarabangsa buatlah dengan idea yang lahir dari fikiran kita sendiri. Jadilah penulis dan pengarah yang tulin.

Bagi Abang Ad sendiri, bila Abang Ad tahu bahawa filem atau siri TV itu adalah ciplakan dari idea orang lain, Abang Ad akan alih siaran atau tutup saja TV. Abang Ad turut malu dengan sikap orang yang muka tidak malu atau lebih tepat lagi orang yang tidak ada maruah. Orang-orang begitu tidak perlu menempek didalam industri penulisan atau perfileman kita. Bikin malu kompeni saja!

Bagi anda yang mahu menulis skrip atau membikin filem, kita hendaklah jujur pada diri sendiri. Kejujuran adalah sesuatu yang teramat mahal harganya. Kejujuran akan membuahkan hasil yang tidak ternilai. Kejujuran akan menjadikan maruah kita kekal dan dihormati serta sentiasa dikenang walaupun kita telah tiada.

No comments:

Related Posts with Thumbnails