Friday, July 31, 2009

LETER-LETER DRAMA (17)


DRAMA RADIO: BERKUBUR TAK BERNISAN

Wartawan akhbar Kosmo, Adham Shadan menghubungi Abang Ad pada hari Khamis malam Jumaat (16/7/2009) bertanyakan pendapat dan pengalaman Abang Ad dalam penulisan skrip drama radio. Katanya dia mendapat nombor telefon Abang Ad melalui RTM Alor Star. Wartawan memang cekap dalam mencari dan mendapatkan maklumat!(Sebenarnya dia ada menghantar email, tapi atas beberapa urusan, Abang Ad tidak sempat membaca email yang ditujukan pada Abang Ad)

Dalam temubual Kuala Lumpur – Alor Star memakan masa lebihkurang empat puluh minit, beliau banyak bertanyakan pengalaman dan nostalgia Abang Ad dalam bidang penulisan skrip drama radio. Katanya beliau terpikat dengan tulisan Abang Ad mengenai kegemilangan drama pada tahun 60-an hingga 80-an.

Bagi generasi seangkatan Adham, mungkin apa yang Abang Ad ceritakan agak melucukan mereka. Terpaksa menjemur bateri cap kambing (bateri Five Rams yang mana kulitnya adalah kertas tebal seperti manila card dan akan mengeluarkan asid jika telah lama digunakan), mengikat wayar atau dawai pada antena radio dan disambungkan pada tin susu berfungsi seolah-olah piring Astro sekarang ini untuk mendapatkan siaran yang jelas bagi mendengar slot “Bangsawan Di udara” dari radio Singapura. Jenama radio yang Abang Ad gunakan pada masa itu ialah Errays cap burung merpati. Tapi yang pasti radio klasik tersebut mempunyai dua tombol besar dihadapan kiri kanan iaitu satu untuk “volume” dan satu lagi pemutar jarum untuk mencari “channel”. Manakala ditengahnya terdapat punat-punat untuk menentukan “band”nya iaitu samada “shot wave” atau “medium wave”. Bagi mendapatkan siaran lebih jelas arial radio tersebut kadangkalanya perlu dipegang sepanjang masa; mungkin mendapatkan tenaga elektrik sokongan dari badan kita! Radio itu pula perlu diletakkan ditempat tertentu dan bukannya boleh mendapat “coverage” dimana-mana saja tempat.

Berbalik pada isu drama radio, Abang Ad memberitahu Adham bahawa pada pendapat dan pandangan Abang Ad secara peribadi, ianya memang masih diminati. Cuma ianya tidak diminati oleh pihak tertentu yang mengendali siaran radio untuk diudarakan. Buktinya pada Ramadhan yang lepas, Radio Era menerbitkan drama pendek setiap hari dan ianya mendapat sambutan menggalakkan dari pendengar. Begitu juga pada suatu ketika dulu Ikim.fm pernah menerbitkan siaran drama pendek dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Sekarang ini drama yang disiarkan di Radio RTM seolah-olah melukut ditepi gantang atau hanya untuk menutup mulut penulis dan peminat drama radio sahaja. Nak kata tak ada, ada. Tapi ada pun macam tak ada!

Bukti bahawa drama dan penulisan skrip drama radio masih diminati ialah bila Abang Ad membuka e-mail, banyak pertanyaan dari peminat-peminat yang Abang Ad boleh agak berapakah usia mereka dengan melihat alamat e-mail mereka. Contohnya, zanacomei88; bermakna mungkin penghantar e-mail baru berusia 21 tahun. Begitu juga dengan mamatjiwalara89, emir1990, cincau1985 dan ramai lagi. Oleh kerana mereka menghantar e-mail secara peribadi dan bukannya didalam blog, maka Abang Ad tidak dapat “publish”kan sebagai bukti.

Pada zaman 60-an dan 70-an dulu, jika slot “Bangsawan Di Udara” disiarkan melalui corong radio Singapura, pendengar serta peminat ketika itu jika hendak dibandingkan dengan peminat masakini, mereka seolah-olah sedang menumpukan perhatian pada slot Akademi Fantasia ataupun siaran bolasepak yang disiarkan secara langsung melalui TV.

Keesokannya, surirumah pasti akan bercakap sesama mereka mengenai bangsawan yang mereka dengar pada malam tadi. Mereka pasti mengaku bahawa mereka amat meluat dengan hilai tawa Jah Lelawati. Mereka pasti berkata mereka terpikat dengan suara Osman Zailani. Mereka pasti tertarik dengan suara romantis dramatis S. Sahlan, S. Ahmad dan ramai lagi.

Kalau drama radio RTM pasti peminat masih merindui drama-drama seperti Bila Kelopak Berkembang yang berkisar mengenai kisah cinta, Panggung Drama, Sandiwara Radio dan sebagainya. Peminat pasti merindui suara-suara dramatis seperti Asmahani Husin, Rubiah Suparman, Lai Joo Lian, Abu Bakar Omar, Baharuddin Haji Omar dan sebagainya. Namun semuanya itu hanyalah nostalgia semata-mata.

Samada pengendali stesen radio masakini tidak berminat atau terlalu berkira untuk menyediakan bajet bagi bayaran royalti penulis skrip dan pelakun tidaklah pula diketahui. Namun hakikatnya drama radio memang masih diminati. Suatu ketika dulu, walaupun Klasik Nasional menyiarkan drama pada jam 1.45 pagi dan jam 3.15 pagi masih ada peminat yang mengikutinya.

Siaran radio masakini banyak memberi tumpuan terhadap penyiaran lagu-lagu. Tak kiralah samada lagu-lagu masakini atau lagu lama. Rancangan berinfomasi dan rancangan bercorak keagamaan juga seperti diabaikan. Apatah lagi drama radio. Mungkin untuk memudahkan kerja, siarkan lagu saja kerana siaran lagu tak perlu apa-apa yang hendak difikirkan. Jika demikian, DJ majlis kahwin pun boleh kendalikannya dengan cekap malah ada dikalangan mereka suaranya lebih sedap serta celoteh mereka lebih menghibur dari DJ radio!

Tidak boleh dinafikan bahawa jika hendak menjadi penulis skrip TV atau filem yang baik, seseorang perlu mengasah bakat terlebih dahulu dalam bidang penulisan skrip drama radio. Ini adalah untuk memahirkan penulis didalam penciptaan dialog. Tetapi jika radio pula sudah tidak berminat untuk menyiarkan drama, dimana penulis mahu mengasah bakat?

Kalau sekadar untuk mendengar lagu, dimana-mana pun orang boleh mendapatnya. Tetapi drama radio, dimana nak dapat?

Apa yang Abang Ad harap, stesen-stesen radio dapat memikirkan perkara ini terutamanya radio RTM kerana drama boleh dijadikan pemangkin untuk penyampaian maklumat dalam bentuk hiburan yang berkos murah. (Ini kata kita, orang lain?)

Dalam hal ini badan-badan penulis seluruh negara mungkin telah beberapa kali dan mungkin juga telah berasa kecewa untuk menghantar memorandum kepada pihak berkenaan merayu dan mendesak agar siaran drama radio dirancakkan semula. Tetapi apa nak buat, kita tak punya apa-apa kuasa dan kepentingan! Kita cuma tahu menulis dan tidak berminat mengenai hal-hal lain. Tak tahulah kalau suatu masa nanti mereka yang diberi bertanggungjawab tertinggi adalah dikalangan penulis pula. Mungkin waktu itu apa yang diharapkan oleh seluruh penulis dan pencinta seni akan menjadi kenyataan. Kita doakan saja......

Berikut (dengan izin) Abang Ad sertakan petikan tulisan Adham Shadan untuk tatapan anda. Pada hari rencana ini disiarkan diakhbar, talian telefon Abang Ad sesak dengan panggilan dari kawan-kawan dan kenalan yang mengucapkan tahniah. Bukan kerana muka keluar suratkhabar. Tapi mereka bangga kerana Abang Ad telah mewakili suarahati mereka dalam memperjuangkan drama radio. Banyak saranan bernas yang mereka berikan, namun apa yang kita boleh buat. Kita hanyalah penulis.....

RENCANA UTAMA (KOSMO: Selasa 28 Julai, 2009 - muka surat 20)

Rahsia drama radio bertahan
Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

Berasaskan faktor zaman, barangkali ada yang beranggapan drama radio sudah kurang mampu mendapat sambutan. Benarkah?

PENGGEMAR drama radio tetap ada khalayaknya. - Gambar hiasan

"SAYA ingat lagi sekitar tahun 1960-an, betapa orang ramai begitu menanti-nanti drama di radio. Saya sendiri terpaksa mengikat wayar atau dawai pada antena radio dan disambungkan pada tin susu seolah-olah piring Astro sekarang untuk mendapatkan siaran yang jelas bagi mendengar slot Bangsawan Di Udara dari radio Singapura.
"Apabila drama radio berkumandang, suasana jadi sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi orang berlakon dalam radio. Topik ketawa mengilai Jah Lelawati pula antara yang hangat disembangkan di kedai-kedai kopi," kata Nasir Awang, 49, yang aktif menulis skrip drama radio sejak 1980-an. Dia yang berada di Alor Setar, Kedah dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ceritanya lagi, bermula tahun 1970-an, drama-drama radio di RTM Radio Malaysia Kuala Lumpur menjadi hit. Antara yang begitu popular dan mengesankan adalah Kebun Pak Awang diikuti Fajar Di Bumi Permata, No.5 Persiaran 1 dan Bila Bunga Berkembang.
"Drama-drama radio ini memang popular dan meninggalkan kesan. Sebagai contoh, ada pendengar mahu melihat kawasan Felda Bukit Putra yang sebenarnya hanya ciptaan dalam drama radio Fajar Di Bumi Permata (FDBP)," kata Nasir sambil memberitahu dia ialah penulis skrip drama radio FDBP.

"Drama-drama ini begitu hebat sehingga ia bertahan mencecah sedekad. Kebun Pak Awang misalnya sampai ada sekuelnya, Anak Pak Awang dan Cucu Pak Awang," tambahnya lagi.

Mesej

Kosmo! menemui satu kajian di Internet yang menunjukkan drama radio berperanan memberi mesej dalam perubahan hidup masyarakat di negara ini.

Kertas kerja bertajuk The Use of TV and Radio Entertainment For Development Communication: The Malaysian Experience oleh Salleh Hassan dan Narimah Ismail itu dibentangkan dalam satu seminar di Singapura pada tahun 1991.

Menurut kajian tersebut, sesuai dengan era kemajuan pertanian pada masa itu, drama Kebun Pak Awang berperanan menyampaikan kisah masalah petani dan mengajak mereka agar mengguna pakai kaedah baru. Ia juga mengingatkan orang ramai bahawa menangkap burung wak-wak yang dilindungi undang-undang boleh dikenakan denda. Pengkaji melihat penyampaian mesej menerusi drama lebih bermakna.

Tanggapan palsu

Zaman sekarang bagaimana? Jangan mudah membuat telahan. Memang benar, dunia sudah berubah. Sekarang ini, lebih kepada era visual berbanding semata-mata audio. Mungkin ada yang beranggapan, drama radio sudah tidak dilayan dan tiada sambutan. Ramai orang sibuk, mana ada masa hendak mendengar radio. Persoalannya, benarkah tanggapan itu?

Bagi Nasir, tanggapan itu palsu. Cuma yang menjadikannya kelihatan tidak popular dan kurang sambutan adalah slot yang ditawarkan oleh industri radio terlalu sedikit.

"Berapa banyak stesen radio yang mempunyai slot drama radio? Bagaimana pula dengan waktu siarannya? Pernah tak lama dulu, drama radio diletakkan siaran pada 1.45 pagi dan 3.15 pagi. Sesuaikah? Mujur masih ada kelompok penggemar yang mengikuti.

"Ada pula orang kata, ramai orang muda tak minat drama radio. Benarkah? Pada bulan Ramadan lalu, Radio Era ada menerbitkan drama pendek dan saya dapati, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.

"Saya sendiri menerima banyak permintaan daripada orang muda yang minta saya mengajar penulisan skrip radio," katanya.

Slot khas

Ketua Bahagian Rancangan di Perak FM, Fauzi Ramli berkata, sebelum ini, stesen radio itu ada slot khas drama radio bersiaran pada setiap minggu. Tetapi sekarang, drama radio hanya disiarkan ketika peristiwa tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha atau Hari Kebangsaan, di samping sketsa-sketsa pendek.
Pengarah drama radio, Fauziah Mohd. Sidek, 27, berkata, Klasik Nasional kini memperkenalkan satu lagi slot drama radio Katarsis bermula November tahun lalu. Berlainan dengan slot Panggung Drama yang bertahan lama, fokus Katarsis adalah isu orang muda.

Beliau mengakui penggemar drama radio tetap ada khalayaknya. Fauziah berkata, hakikatnya drama radio masih disukai oleh pelbagai kaum.

"Di stesen radio RTM, bukan sahaja drama radio ada di Klasik Nasional, bahkan ada di stesen radio berbahasa Cina, Ai FM dan stesen radio berbahasa Tamil, Minnal FM.

"Tanggapan orang sahaja yang kata tidak ada orang mahu mengikuti drama radio. Masa saya pergi ke bengkel kereta, saya sendiri boleh dengar drama radio berbahasa Cina terpasang dan ada pekerja di situ mendengarnya. Kata pekerja itu, 'memang ikut ma...'" ujar Fauziah


No comments:

Related Posts with Thumbnails