Monday, June 22, 2009

LETER-LETER DRAMA (16)


SCREENWRITER, SCREENPLAY TU MENATANG APA?

Kalau anda seorang penulis yang kreatif, berhati-hati serta inginkan skrip anda difilemkan menepati kehendak dan imaginasi anda serta menarik untuk ditonton, pengarahan skrip beserta dialog yang kemas (screenwriter) adalah penting untuk anda tuliskan.

Sebenarnya dalam penulisan skrip, penulis hanya mencipta skrip semata-mata. Soal pengarahan, pemilihan pelakun dan lain-lain berkaitan adalah tugas pengarah dan lain-lain petugas produksi. Bermakna, pengarahan skrip tidak perlu anda tulis secara detail atau panjang lebar. Tetapi jika anda mampu menulisnya serta mahu skrip tersebut difilemkan menepati kehendak anda, ianya adalah penting bagi anda menulisnya.

Kadangkala bila anda menulis skrip, anda membayangkan pelakun-pelakun yang anda minati membawa watak yang anda tulis. Jadi anda pun menulis dialog bersesuaian dengan karektor pelakun-pelakun berkenaan. Perkara ini adalah baik untuk anda menulis dengan lancar kerana anda seolah-olah mempunyai ikon yang sedang anda fokuskan. Anda juga boleh memberikan cadangan kepada penerbit untuk mengambil mana-mana pelakun untuk membawakan watak yang anda tulis. Tetapi kebanyakan syarikat produksi mempunyai residen atau favourite artis mereka sendiri. Ini semua terpulanglah kepada syarikat penerbitan.

Mungkin apa yang anda tulis dalam bentuk pengarahan tidak diikuti sepenuhnya oleh pengarah. Tetapi jika gandingan idea anda dan kreativiti serta kepakaran pengarah dicantumkan,tentulah hasil dari skrip anda akan menjadi lebih kemas dan menarik. Demikian juga dengan dialog yang anda tulis, mungkin tidak diikuti sepenuhnya oleh pelakun. Ada pelakun yang mahir, mereka akan “add-lip” dialog mereka sendiri tetapi tidak lari maksud dengan dialog asal yang anda tulis.

Kalau anda pernah mengikuti krew produksi mengadakan penggambaran, tentu mudah bagi anda untuk menulis pengarahan skrip.

Macamana nak tulis? O.K. Abang Ad akan berikan contoh dan panduan kepada anda.Abang Ad pun bukannya pandai sangat. Kalau salah anda boleh tegur. Demi kebaikan Abang Ad tak kisah. Tegurlah kalau Abang Ad salah. Kalau ada yang tidak faham, anda boleh emailkan soalan pada Abang Ad. Insyaallah Abang Ad akan bantu sekadar yang Abang Ad tahu.

Contohnya begini. Kita ambil balik contoh skrip yang Abang Ad berikan sebelum ini. Kita cuba kembang dan rendangkan supaya ia menjadi lebih cantik dan menarik.

BABAK 1/KELAB DANGDUT/MALAM

PERALATAN/KEPERLUAN
1. LOKASI DISEBUAH KELAB DANGDUT.
2. EFFECT: LAGU DANGDUT BERKUMANDANG.

KAMERA ZOOM IN DAN ZOOM OUT BERSELANG SELI BEBERAPA KALI KEARAH AKMAL DAN PASANGANNYA YANG SEDANG MENARI.SESEKALI FOKUSKAN PADA PASANGAN-PASANGAN LAIN YANG SEDANG MENARI/MINUM-MINUM DAN BERBUAL-BUAL. ZOOM IN KEARAH AKMAL YANG TERHOYONG-HAYANG.CUBA MENCIUM PASANGANNYA (LIANA). MELARIKAN MUKA.BERPELUKAN.FOKUSKAN PADA TANGAN LIANA YANG MENYELUK SAKU SELUAR AKMAL. MENGAMBIL BEBERAPA KEPING WANG KERTAS LIMA PULUH RINGGIT.

BABAK 2/RUMAH TERES/MALAM

PERALATAN/KEPERLUAN

1. SEBUAH RUMAH TERES SATU TINGKAT
2. SEBUAH KERETA
3. SEBUAH JAM DINDING JENIS BERDENTING
4. KERETA MAINAN/ANAK PATUNG/LAIN-LAIN MAINAN

SETELAH KELUAR DARI KERETA, AKMAL MEMEGANG GRILL PINTU DENGAN KEDUA BELAH TANGAN. MELEKAPKAN KEPALA SEKETIKA DI GRILL. MENGGONCANG-GONCANG GRILL DENGAN KUAT. PINTU TERBUKA. NURUL MEMBUKA KUNCI GRILL. KELIHATAN GOPOH/TAKUT DAN RESAH. SEMASA MEMIMPIN AKMAL KE BILIK, KETIKA MELALUI RUANG TAMU. AKMAL TERSEPAK KERETA MAINAN. LALU MENYEPAK KUAT HINGGA TERTAMPAN DINDING DAN BERKECAI.KAMERA FOKUS PADA KERETA MAINAN YANG BERKECAI.

AKMAL DIBARINGKAN DIATAS KATIL. SETELAH MEMBUKA KASUT AKMAL, NURUL DUDUK DITUBIR KATIL. MEMANDANG KEDUA ANAKNYA DIKATIL SEBELAH. FOKUSKAN PADA KEDUA-DUA ANAKNYA YANG NYENYAK TIDUR. FOKUSKAN PADA JAM DINDING YANG MENUNJUKKAN PUKUL TIGA BILA JAM BERDENTING.

BABAK 3/PEJABAT/SIANG

PERALATAN/KEPERLUAN

1. KELENGKAPAN SEBUAH BILIK PEJABAT
2. SEBUAH JAM TANGAN DIGITAL UNTUK DIPAKAI OLEH AKMAL
3. SEBUAH TELEFON BIMBIT
4. SEBUAH GLOBE

FOKUSKAN PADA JAM TANGAN AKMAL YANG MENUNJUKKAN JAM 3 PETANG.AKMAL BERDIRI RESAH. MEMUSING-MUSING GLOBE BEBERAPA KALI. MENCAPAI TELEFON BIMBIT DAN DAIL.SEMASA BERCAKAP, BERJALAN MENJENGUK KETINGKAP.FOKUSKAN KELUAR MELALUI TINGKAP MENUNJUKKAN DUA ORANG SEDANG BERADA HAMPIR KERETA AKMAL.


Demikianlah contoh yang mampu Abang Ad berikan. Kalau diteliti skrip-skrip filem Inggeris, penulis tidak banyak menulis tentang pengarahan didalam skrip. Tugas untuk menjadikan ia sebuah “screenplay” adalah tugas pengarah hasil gandingan kreativiti jurukamera. Sebab itulah dalam contoh sebelum ini Abang Ad tidak banyak menulis pengarahan didalam skrip. Abang Ad beri contoh yang simple sahaja supaya anda terutamanya para pendatang baru tidak pening dan merasa sukar untuk mencipta skrip.

Tetapi harus diingat, jika sesuatu perkara itu penting dan anda rasakan jika perkara itu tidak dimasukkan didalam cerita anda, ianya akan mencacatkan jalan cerita, eloklah pengarahannya anda tulis dengan detail dan teliti. Pengarahan ini boleh juga anda tulis dibawah sesuatu dialog. Contohnya begini.

AKMAL
Huh…kalau aku mahu…jangankan rumah dan harta benda engkau… dengan engkau engkau sekali aku boleh beli!!! Pasal duit ringgit, engkau tak usah cakap, aku tak heran punya!!!! Tapi aku bukan mahu beli engkau….aku mahu nyawa engkau!!!

(AKMAL MEMUSING-MUSINGKAN KUNCI KERETA YANG DILETAKKAN DIJARI TELUNJUKNYA KETIKA BERCAKAP. MUKA DAN LAGAKNYA KELIHATAN ANGKUH. DIA BERJALAN-JALAN SEKELILING LIANA (PELAYAN KELAB DANGDUT) YANG DUDUK DISOFA. BERHENTI. MEMEGANG KERAS DAGU LIANA. MEMBERI AMARAN)

AKMAL (SAMBUNG)

Hey betina….ingat, kalau engkau sayangkan nyawa engkau…engkau jangan datang sini lagi!!! Keluar dari sini sekarang!!!!

Kalau dalam skrip anda ada adegan orang terbang, orang jatuh melayang dari bangunan, kereta remuk kemalangan, orang berjalan atas air,orang sedang dijilat api dan sebagainya, terpulanglah pada kreativiti pengarah dan jurukamera. Tetapi dengan kecanggihan teknologi sekarang ini, perkara demikian tidak sukar dilakukan. Ianya boleh dilakukan dengan camera trick atau menggunakan skrin komputer sahaja. Zaman P. Ramlee pun tikar boleh terbang, takkan sekarang ni tak boleh!

Anda tidak perlu memikirkan sangat tentang pengarahan skrip. Apa yang penting anda tulis cerita dan dialog yang menarik. Pastinya ia menjadi menarik apabila difilemkan dan dipertontonkan kelak. Belum cuba belum tahu! Selamat menulis dan selamat maju jaya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails