Thursday, June 4, 2009

LETER-LETER DRAMA (15)


MAI KITA START TULIH SKRIP.

Banyak sangat dok cerita macam-macam, kali ini Abang Ad nak balik pada tajuk asal. Macamana nak tulis skrip? Susah sangatkah nak tulis skrip? O.K sekarang mari kita cuba.

Katakanlah anda telah punya idea yang sarat ibarat bisul yang bernanah menanti masa untuk pecah. Apa yang anda harus buat? Anda harus mulai dengan membuat draf perjalanan babak terlebih dulu untuk memudahkan anda mencipta dialog. Draf itu biarlah macamana ia keluar dari kamar fikiran anda. Tulis apa saja yang keluar. Jangan fikirkan soal susunan atau yang mana lebih dulu hendak ditulis. Anda hentam saja. Kalau anda fikirkan mana hendak diletak dulu, mana yang kemudian, anda jadi pening dan akhirnya anda tidak jadi menulis. Susunannya boleh dibuat kemudian. Apa nak susah hati, zaman mesin taip ketuk sudah berlalu. Sekarang ni guna komputer. Nak susun bukannya susah. Boleh main cut and paste saja. Kalau anda gunakan teknik begini, penulisan anda akan jadi lebih mudah malah ianya akan bertambah cantik dan menarik bila anda membuat susunan kelak. Percayalah!

Kalau anda seorang yang kuat ingatan, mungkin anda boleh terus menulis dialog. Tetapi membuat rangka cerita adalah lebih baik supaya anda tidak mudah terlupa. Ini semua bergantunglah pada stail dan keselesaan masing-masing. Apa yang penting skrip mestilah siap dan bermutu! Tetapi sebelum itu anda perlu juga membuat draf tentang jalan cerita atau synopsis drama yang hendak anda tulis.

Contoh sinopsis adalah begini.

SINOPSIS:
Cerita ini berkisar tentang seorang suami yang suka berfoya-foya dan menghabiskan masa dengan menggilai perempuan-perempuan jalanan. Isterinya yang taat cuba menasihatinya. Tetapi nasihat dari isterinya tidak dipedulikan. Akmal, seorang usahawan berjaya tetapi akhirnya menjadi muflis akibat suka berfoya dan boros berbelanja. Dia juga sentiasa dikejar along.

Dia kembali kepangkal jalan setelah dua anaknya meninggal dunia angkara perbuatan tidak berhati perut along..
(sehingga habis cerita..)

Penulis juga perlu menyiapkan satu senarai perwatakan pelakun seperti contoh berikut:

PERWATAKAN:
1. AKMAL
Watak utama. Berusia lebihkurang 40 tahun. Seorang usahawan. Sentiasa
berwajah serius dan panas baran.

2. NURUL
Isteri Akmal. Berusia 35 tahun. Penyabar, taat dan lemah lembut. Surirumah.

3. HASAN
Berusia 40 an. Orang suruhan Akmal. Berwatak bengis. Sentiasa memakai jeans,
kemeja T dan topi.

4. SETERUSNYA WATAK-WATAK LAIN. WATAK-WATAK TAMBAHAN JUGA PERLU ANDA MASUKKAN
KERANA SEMUA ITU DIAMBILKIRA DIDALAM SKRIP.

Kerangka cerita atau susunan babak yang anda draf contohnya begini. (Ini contoh yang mudah untuk anda fahami)

1. Akmal menari separuh mabuk disebuah kelab dangdut bersama seorang wanita seksi.
2. Marahkan isteri kerana lambat buka pintu. Isterinya penyabar. Tanpa berleter
terus memimpin Akmal kekatil.
3. Dalam pejabat. Akmal resah kerana ada orang menunggunya dikereta. Dia
menalipon orang suruhannya minta bantuan.
(Kalau boleh draf hingga habis cerita. Tentang susunan babak boleh fikir untuk diubah, ditambah atau dibuang kemudian. Yang penting siapkan draf dulu.)


O.K, sekarang macamana pula nak tulis dialog? Abang Ad bagi contoh mudah seperti ini:

BABAK 1/KELAB DANGDUT/MALAM.

BUNYI MUZIK BERKUMANDANG. RAMAI ORANG YANG MENARI DENGAN PASANGAN MASING-MASING. AKMAL DAN PASANGANNYA, SEORANG WANITA SEKSI (AIDA) SEDANG MENARI KERIANGAN. SESEKALI KELIHATAN AKMAL TERHOYONG-HAYANG.

CUT TO…..

BABAK 2/RUMAH AKMAL/MALAM.

MENGETUK-NGETUK PINTU DENGAN KUAT. KELIHATAN MARAH DAN BENGIS. BEBERAPA KETIKA NURUL (ISTERI) MEMBUKA PINTU. NURUL MEMIMPIN AKMAL MASUK.

AKMAL

Bodoh…!!! Kenapa lambat buka pintu hah?

NURUL TIDAK MENJAWAB. TERUS MEMIMPIN DAN BARINGKAN AKMAL DIKATIL. SETELAH AKMAL DIBARINGKAN, NURUL MEMBUKA KASUT AKMAL. NURUL DUDUK DITUBIR KATIL DAN MERENUNG JAUH. SESEKALI MERENUNG WAJAH KEDUA-DUA ANAKNYA YANG NYENYAK TIDUR. AIRMATA KELIHATAN MEMBASAHI PIPI NURUL. TERSENTAK BILA JAM BERDENTING MENUNJUKKAN JAM TIGA PAGI. KAMERA DIFOKUSKAN KEARAH JAM YANG BERDENTING.

CUT TO…..

BABAK 3/PEJABAT/SIANG.

KAMERA DIFOKUSKAN KE JAM TANGAN AKMAL YANG MENUNJUKKAN JAM 3.00 PETANG. AKMAL KELIHATAN RESAH. MENCAPAI TELEFON TANGAN. DAIL DAN MENUNGGU.

AKMAL

Hello Hasan…engkau kena datang sekarang juga. Kalau tidak matilah aku.
(AKMAL BERJALAN DAN MENJENGUK DITINGKAP)
Hasan…dia orang tunggu dekat kereta aku. Engkau datang bawa dua tiga orang kawan.
Belasah dia orang tu cukup-cukup. Biar dia orang tahu siapa Akmal!!!


Ini adalah secebis contoh skrip TV/filem. Walaupun penggambaran dan mencari sudut sesuai dan menarik adalah kerja pengarah dan jurukamera, tetapi penulis boleh memberikan arahan didalam skrip mengenai dimana dan apa yang harus difokuskan oleh jurukamera. Mungkin penulis mempunyai teknik dan idea menarik. Arahan seperti ini penting jika sesuatu babak itu tidak mempunyai dialog langsung. Contohnya:

BABAK 4/DALAM BANDAR/SIANG/HUJAN

HASAN BERJALAN SAMBIL MEMANDANG KIRI KANAN MELINTASI JALAN MEREDAH HUJAN. MENYELIT DICELAH-CELAH KENDERAAN YANG BERHENTI DILAMPU ISYARAT. TIBA-TIBA SEBUAH KERETA MEMBREK KUAT HAMPIR TERLANGGAR HASAN. HASAN MEMBELIAKKAN MATANYA TANDA MARAH. KAMERA DIFOKUSKAN TEPAT KEMATA HASAN. HASAN MENUMBUK-NUMBUK BONET KERETA. DIA BEGITU MARAH. PEMANDU KERETA MELURU KELUAR. DUA ORANG LAGI KELUAR. MENANGKAP DAN MENGGARI HASAN. HASAN TIDAK SEMPAT MERONTA ATAU BERBUAT APA-APA. MEREKA MENYUMBATNYA KEDALAM KERETA. KERETA MELUNCUR LAJU.

CUT TO...

Lihat contoh yang Abang Ad berikan antara Babak 2 dan Babak 3. Diakhir Babak 2 kamera fokuskan jam dinding menunjukkan pukul 3 pagi manakala permulaan Babak 3 kamera fokuskan jam tangan menunjukkan pukul 3 petang. Penulis boleh memberi arahan seperti fokuskan pada pelakun yang tersengih menampakkan gigi rongak, fokuskan pada seluar yang terkoyak dipunggung, pada kaki kerana memakai kasut terbalik atau stoking berlainan warna dan sebagainya mengikut jalan cerita yang disusun.

Selain itu untuk memudahkan penerbit/pengarah penulis perlu juga menyenaraikan
peralatan-peralatan yang diperlukan untuk penggambaran. Sebenarnya penerbit/pengarah berpengalaman tentunya tahu apa peralatan yang perlu digunakan. Tetapi penulis boleh senaraikan untuk membantu penerbit/pengarah. Contohnya begini.

PERALATAN DIPERLUKAN

1. BABAK 1
a.Peralatan/kelengkapan sebuah kelab dangdut..

2. BABAK 2
a.Jam dinding jenis berdenting
b.Lain-lain peralatan/kelengkapan rumah/bilik tidur

3. BABAK 3
a.Jam tangan jenis digital untuk dipakai oleh Akmal.

Senarai peralatan ini tidak perlu disusun babak demi babak. Kecuali sesuatu peralatan khusus sahaja perlu dicatatkan jika diperlukan untuk sesuatu babak itu.Jika sesuatu babak itu perlukan beca, binatang atau apa-apa saja yang agak sukar diperolehi, perlulah dicatatkan bagi memudahkan urusan penerbit.

Seseorang penerbit/pengarah yang berpengalaman, selalunya mereka tahu apa peralatan yang diperlukan bila mereka membaca skrip. Tetapi seseorang penulis juga berhak menentukan apa yang perlu digunakan kerana mungkin penulis mempunyai alasan tersendiri kenapa peralatan tersebut perlu digunakan.

Sekiranya anda telah selesai menulis skrip, ulang bacalah berkali-kali. Anda cuba berlakon menggunakan dialog-dialog yang anda tulis. Kalau rasa tak sedap, gantikan dengan dialog yang lebih sedap. Jangan tergesa-gesa untuk menghantarnya kepada penerbit. Anda perlu berhati-hati agar anda tidak berputih mata.

Sekali lagi Abang Ad ingatkan: Orang hanya mahu duit kita bukannya nak memberi duit pada kita! Kita akan dapat duit kalau kita berusaha dan bekerja dengan ikhlas.

Ikhlas dari Abang Ad (malam Jumaat yang berkat)

14 comments:

Anonymous said...

PANDUAN YANG ABANG AD BERIKAN AMAT BERGUNA SEKALI. TERIMA KASIH ATAS USAHA DAN KEIKHLASAN ABANG AD. SEMOGA USAHA ABANG AD DIBERKATI ALLAH. SELAMAT BERJAYA DAN SELAMAT PANJANG UMUR.

hamidah said...

panduan yang abang ad berikan memang bagus dan menarik untuk dijadikan panduan. terima kasih atas keikhlasan abang menyebarkan ilmu yang amat berguna seperti ini

wahaborangtanjung said...

panduan dan idea skrip abang ad memang menarik. terima kasih kerana memberikan ilmu yang berguna. terima kaseeeeeeee.

ctzubaidah said...

idea ini bagus. kalau abang teruskan jadi sebuah skrip yang lengkap tentu menarik. kalau tidak pun biar saya cuba sambung. hee...hee..gurau aja. baru nak belajar menulis.

siti hazira said...

adakah pergerakan pelakun juga perlu ditulis didalam skrip. harap dapat penjelasan dari abang. terimasih.

nurul aina usm said...

memang menarik dan berguna info yang anda berikan. terima kasih atas usaha anda.

Lailatul Abu Karim said...

terima kasih atas info. harap tuan dapat memberikan info yang lebih terperinci lagi.

Anonymous said...

semoga usaha dan keikhlasan anda diberi ganjaran oleh Allah. inilah pertama kali saya dapat belajar dan faham cara menulis skrip. Terimakasih

noranie88 said...

Hi bang.....kenapa tak habiskan skrip ni? Kalau habis tentu boleh dapat duit.

hanny said...

Ikan gelama ikan tenggiri
ikan sembilang ikan sepat
sudah lama aku mencari
baru sekarang aku mendapat.
terima kasih abang ad. Info yang amat berguna.

Jalaluddin Imran said...

kenape abang ad tak lengkapkan cerita ini. saya rasa menarik idea abang ni. terima kasih kerana menyebarkan ilmu seperti ini.

Huda Nasiha said...

Sebagai seorang peminat seni, saya amat menghargai usaha abang dalam mengembangkan ilmu. Teruskan usaha yang baik ini. Saya akan jadikan apa yang abang sampaikan sebagai panduan untuk menulis skrip. Terimakasih.

ROCK ANAK DESA said...

saya sokong 100% usaha begini. tak guna kedekut ilmu kerana ilmu bukan milik mutlak kita. ilmu adalah milik Allah. tak rugi kalau disebarkan.

eda karina said...

Abg ad.. saya adham seorang wartawan rencana sebuah akhbar.. berminat nak interview abg ttg perkembangan industri drama radio dan penulisan skrip drama radio.. harap abg sudi ditemubual.. emel saya di am8108@gmail.com.. hubungi saya segera ye bang.. Terima kasih abg..

Related Posts with Thumbnails