Monday, June 1, 2009

LETER-LETER DRAMA (14)


PELAKUN MANA YANG ABANG AD MINAT?

SETIAP orang yang meminati drama atau filem tentunya mempunyai minat terhadap lakunan seseorang. Abang Ad juga tidak terkecuali.

Sebenarnya ramai pelakun drama tempatan yang Abang Ad minat lakunan mereka. Tetapi pelakun yang Abang Ad minat kerana lakunannya bersahaja, nampak real, bersungguh-sungguh serta boleh membawa apa saja watak ialah Fauziah Nawi.

Lakunan-lakunan Fauziah Nawi (Kak Yah) memang memikat hati Abang Ad terutamanya kalau dia membawa watak-watak ala kampong. Kak Yah bukan saja Abang Ad minat lakunannya, malah Abang Ad minat juga suaranya yang jelas dan baik “pronunciation”nya ketika dia menjadi juruhebah Rangkaian Biru RTM (siaran bahasa Inggeris).

Kak Yah petah bercakap; sepetah cakapnya ketika berlakun drama. Kak Yah sering muncul dalam drama TV terbitan RTM. Selain itu Kak Yah juga sering berlakun drama radio RTM.

Bagi Abang Ad, Kak Yah adalah seorang pelakun yang versatile. Boleh membawa apa-apa saja watak yang dipertanggungjwabkan kepadanya. Apatah lagi jika watak-watak ala kampong dan watak-watak berat. Kak Yah mampu membawanya dengan baik. Begitu juga dengan watak-watak komedi. Kak Yah membawa watak komedi; Timah TL dalam Santan Berlada.

Lakunan Kak Yah yang masih Abang Ad ingat ialah dalam drama Angin Bila Menderu karya Johan Jaafar bersama Mohamad Abdullah, Karim Latif dan lain-lain. Lakunannya bersahaja dan berkesan.

Setiap kali Abang Ad mengunjungi Angkasapuri sekitar tahun 80-an, Abang Ad amat berharap untuk bertemu Kak Yah. Abang Ad berhajat berbual dengan Kak Yah bertanyakan pengalamannya dalam bidang lakunan drama. Yang peliknya Abang Ad tidak pernah menalipon Kak Yah menyatakan hasrat! Abang Ad berharap pada nasib semata-mata!

Bertahun-tahun Abang Ad mengunjungi Angkasapuri atas urusan penulisan skrip atau bertemu kawan-kawan jika ada urusan di Kuala Lumpur, tidak juga dapat bertemu Kak Yah. Yang Abang Ad kerap terjumpa di kantin Wisma Radio (dulu panggil kantin, sekarang baru panggil café) ialah Omar Abdullah, Abdullah Abdul Rahman, Normah Damanhuri, Omardin Kardin dan beberapa pelakun serta penyanyi-penyanyi yang membuat rakaman rancangan RTM.

Suatu hari ketika Abang Ad minum di kantin bersama Manan Selamat (penerbit Fajar Di Bumi Permata) Abang Ad ternampak Kak Yah memasuki ruang kantin. Kak Yah dengan sifat ramahnya menyapa beberapa orang disekelilingnya.

Abang Ad menegur Kak Yah dan mempelawa duduk semeja. Perbualan kami berkisar tentang lakunan dan perkembangan drama termasuk penulisan skrip. Kak Yah menceritakan pelbagai pengalamannya ketika berlakun. Tetapi satu nasihat yang Kak Yah pesan dan Abang Ad amalkan ialah: kita mesti lakukan sesuatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur. Mesti jujur pada diri sendiri dan pada orang lain. Kalau kita dipihak yang benar, pedulikan apa orang kata. Orang lebih suka lihat kita jatuh daripada kita berjaya.

Pelakun lelaki yang Abang Ad minat lakunannya ialah Ismail Din (Allahyarham). Abang Ad kenal semasa dia menjadi penerbit drama di RTM. Lakunannya juga bersahaja dan real ketika didalam drama. Tetapi kurang berkesan ketika berlakun filem. Dia juga boleh membawa pelbagai watak dengan baik. Dia juga ada berpesan pada Abang Ad: buat bersungguh-sungguh, jangan bertangguh-tangguh. Jika dia menerbitkan “drama dalam syair” dia suka menjemput M. Daud Kilau (Dato’) dan S.M Salim (Tan Sri) untuk bersyair. Memang kemerduan suara kedua-dua tokoh ini sukar ditandingi ketika bersyair.

Abang Ad doakan semoga Kak Yah sihat sejahtera dan semoga roh Allahyarham Ismail Din ditempatkan bersama solihin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails