ANTARA PELAKUN TV DAN PELAKUN FILEM
MENONTON TV. Kalau dibuat kajian, Abang Ad rasa rating orang yang suka menonton TV tentunya lebih ramai dari orang yang suka membaca.
Begitu juga dengan Abang Ad. Abang Ad juga suka menonton TV. Di samping itu Abang Ad juga tidak abaikan amalan membaca.
Mengenai menonton TV, Abang Ad akan menonton apa saja rancangan dari semua rangkaian TV kalau ada kesempatan. Sesekali Abang Ad akan menemani anak lelaki bungsu, Mohammad Amar menonton rancangan kegemarannya: kartun, bolasepak dan sukan, gusti, filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan filem-filem Melayu lama. Abang Ad akan menemani anak perempuan ketiga Abang Ad; Nor Aliyya menonton Akademi Fantasia, rancangan-rancangan hiburan bercorak muzikal dan rancangan drama bersiri. Abang Ad akan menemani isteri, Noraini Hashim menonton rancangan kegemarannya yang disiarkan di TV9, Muqaddimah dan Tanyalah Ustaz pada sebelah pagi. Ada ketikanya Abang Ad sekeluarga menonton rancangan yang sama.
Bagi Abang Ad sendiri, Abang Ad suka menonton drama/telefilem Melayu dan filem-filem Inggeris. Sebagai seorang peminat seni, Abang Ad bukan sekadar menonton dan menghayati jalan ceritanya sahaja, tetapi Abang Ad akan perhatikan cara lakunan; gerak geri dan tutur dialog pelakun, teknik dan lokasi penggambaran. Perkara ini mungkin tidak dipedulikan oleh kebanyakan orang. Abang Ad cuba bertanya pada anak-anak dan isteri; mereka sendiri tidak menyedari perkara tersebut bila Abang Ad mengulas kembali tentang apa yang telah sama-sama ditontoni.
Apa yang Abang Ad maksudkan ialah cara sesuatu filem itu dibikin dan cara seseorang pelakun itu membawa wataknya. Bagi Abang Ad walau baik dan bagus sekalipun sesuatu skrip itu jika cara pembikinan dan lakunannya tidak menarik, tidak ramai yang akan suka menonton. Begitulah juga sebaliknya.
Abang Ad akan memberikan beberapa contoh yang sering kita tontoni tetapi mungkin ramai tidak menyedari.
Dalam satu babak, sepasang kekasih sedang berbual didalam sebuah kereta yang sedang bergerak. Si Teruna sedang memandu dan Si Dara berada disebelahnya. Katakan kenderaan mereka sedang menghala utara. Semasa Si Teruna sedang bercakap, kamera akan memfokus kewajahnya yang mana kenderaan sedang menuju utara. Tetapi bila Si Dara pula bercakap, kamera akan memfokus kewajahnya dan kenderaan seolah-olah sedang menuju selatan pula! Abang Ad tidak tahu adakah itu satu teknik kontinuti dalam pembikinan filem? Tetapi perkara demikian jarang berlaku dalam filem Inggeris! Begitu juga jika Si Teruna menalipon Si Dara. Sebaik saja habis mendail dan telefon dilekapkan di telinga, terus saja bercakap. Logiknya jika kita mendail, ia akan mengambil masa lima enam saat untuk sampai ketalian penerima. Itu belum dikira masa yang diambil oleh penerima mengeluarkan telefon untuk menjawab panggilan. Biarpun ianya adalah lakunan, tetapi logik dan “real”nya mestilah ada. Kalau ceritanya sememangnya tidak logik seperti sesetengah filem komedi P. Ramlee dan hanya untuk memberi pengajaran kepada penonton semata-mata, itu lain halnya.
Jika dilihat pada lakunan pula, Abang Ad agak hairan dengan sesetengah pelakun yang begitu baik lakunannya di dalam drama tetapi hambar dan adakalanya hancur bila masuk filem. Dalam drama cukup bagus, tetapi didalam filem jadi tergedik-gedik dan “over acting”. Perkara ini tentunya ada kaitan dengan pengalaman dan kepakaran pengarah.
Lihat saja lakunan Allahyarham Ismail Din atau Azean Irdawaty dalam filem arahan-arahan Prof. A. Razak Mohaideen. Lawak mereka agak dibuat-buat dan tergedik-gedik berbanding lawak mereka dalam drama/telefilem arahan pengarah lain. Mereka ini adalah pelakun-pelakun hebat, tetapi lakunan mereka hancur! Salah siapa jika ini semua berlaku? Begitu juga dengan lakunan Jalil Hamid, Abu Bakar Omar atau Abu Bakar Juah. Mereka tidak hebat bila masuk filem sedangkan mereka adalah pelakun handalan jika beraksi dalam drama.
Kesemua pelakun yang disebutkan, mereka cukup hebat lakunannya semasa membawa watak didalam drama-drama terbitan RTM. Bagi Abang Ad, pengarah-pengarah drama RTM memang mempunyai bakat yang terserlah.
Drama-drama terbitan RTM yang rasanya masih diingat oleh penonton seangkatan Abang Ad seperti Dayang Suhana dan Lembayung Petang; lakunan Rubiah Suparman memang hebat. Begitu juga dengan Anjang Aki lakunan Baharuddin Haji Omar dan Tok Perak lakunan Ahmad Marbawi memang melekat diingatan.
Bila RTM menswastakan rancangan dramanya, pengarah-pengarah drama berbakat RTM entah apa nasib mereka.
Sebab itulah suatu ketika dulu zaman kegemilangan drama-drama TV RTM, penyunting skripnya; Atondra begitu bangga dengan pelakun-pelakun drama RTM. Katanya (dalam kebanyakan ceramah penulisan) RTM memang banyak melahirkan bakat-bakat lakunan yang mana sesudah itu mereka dilamar menjadi pelakun filem pula.
Drama-drama bersiri arahan Dato’ Yusof Haslam atau Aziz M. Osman agak menonjol di TV.
Telefilem arahan Erma Fatima, Ahmad Fuad Onah atau Jinggo juga sering menghiasi skrin TV. Telefilem arahan mereka agak menarik jalan ceritanya.
Drama-drama terbitan dan arahan Yusof Haslam memang menarik dan mendapat perhatian ramai. Yang kurang menariknya tentang drama terbitan Yusof Haslam ialah cara penyampaian dialognya. Dialognya agak baku dan kadangkala menjemukan. Bahasa drama sepatutnya bahasa pertuturan harian yang tidak perlu dibakukan sangat. Kalau drama cerita polis/pasukan unifom mungkin dialog sebegitu boleh diterima, tetapi lain-lain drama juga ada stail demikian. Bila melihat kepada drama dan lakunan Yusof Haslam, Abang Ad teringat lakunan Tan Sri Jins Shamsuddin. Lakunan Yusof Haslam ada mirip Jins Shamsudin. Serius dan bersuara lantang.
Suatu ketika dulu, Nurhalim Ismail (Nur Iskandar – orang Perlis) cukup hebat drama arahan-arahannya. Tetapi dia juga tidak bertahan lama.
Zaman filem Melayu kembali ke puncak pada penghujung 70-an dan awal 80-an, filem-filem arahan Jins Shamsudin seperti Tiada Esok Bagimu, Menanti Hari Esok dan Esok Masih Ada semuanya Abang Ad tonton di Panggung Cathay Alor Star. Begitu juga dengan filem-filem arahan Deddy M. Borhan seperti Keluarga Si Comat, Pendekar, Si Badol dan Hapuslah Airmatamu semuanya Abang Ad tonton. Lain-lain filem yang Abang Ad tonton di pawagam ialah Sayang Anakku Sayang lakunan Azizah dan Aziz M. Osman, Loceng Maut lakunan Omar Sharif (orang Gurun) dan Mukhtaruddin (orang Perlis), Jiwa Remaja lakunan Hail Amir, Cinta dan Lagu lakunan Hail Amir dan Norzie Nani, Pemburu lakunan Rahim Razali, Ahmad Tarmimi dan Ahmad Yatim, Adik Manja lakunan Dharma Aminurrashid, Noorkumalasari dan Adibah Amin dan beberapa filem lagi.
Masa itu filem-filem yang banyak ditayangkan ialah filem Indonesia dan filem Hindustan. Banyak filem-filem tersebut Abang Ad tonton. Filem-filem Inggeris jarang ditayangkan. Filem-filem Inggeris yang Abang Ad tonton dipawagam seperti The Man With The Golden Gun, The Spy Who Love Me dan beberapa filem-filem James Bond serta filem Grease, Rambo,The God Must Be Crazy dan banyak lagi.
Filem-filem tersebut memangnya tidak layak untuk dibandingkan dengan filem-filem Melayu. Abang Ad tidak berani mengulas tentang kelemahan filem Melayu kerana Abang Ad bukanlah pakar. Tetapi sebagai penonton, rasanya Abang Ad berhak untuk memberikan komen. Filem Melayu bukan tak bagus kerana banyak sekatan seperti tidak boleh membuat cerita berunsur tahyul, mendedahkan aurat secara keterlaluan dan bercumbu-cumbuan. Namun itu bukanlah alasan. Tanpa tahyul, mendedahkan aurat atau bercumbuan, sesuatu filem boleh jadi bagus dan menarik jika lakunan dan pengarahannya dilakukan dengan teliti.
Drama-drama bersiri Inggeris yang bercorak kekeluargaan yang tidak mempunyai unsur mendedahkan aurat keterlaluan juga menarik untuk ditonton seperti Little House on Prairie yang pernah ditayangkan diTV suatu masa dahulu. Begitu juga dengan drama-drama koboi seperti High Chapparel atau drama penyiasatan seperti Hawaii Five O cukup menarik ditonton. Begitu juga dengan drama ChiPs, penonton tidak kering gusi dengan watak lurus-lurus alang polis trafik bernama Perkins yang berbadan gempal.Lain-lain siri ialah Bionic Women, Six Millions Dollar Man, Three Stoges, Combat dan banyak lagi menjadi kegemaran ramai.
Drama/telefilem Melayu juga boleh jadi menarik jika ianya dibuat dengan perancangan yang teratur dan teliti dalam beberapa aspek. Lakunan dan dialognya mestilah disusun dengan kemas. Jika lakunan atau dialog yang membabitkan soal agama ianya mestilah dilakukan dengan betul tanpa sedikitpun kesalahan. Dialog seperti “saekom atau semekom” bagi ucapan assalamualaikum hendaklah diucapkan dengan betul. Begitu juga dengan menjawab salam. Jawablah dengan tepat iaitu waalaikumussalam bukan waalaikum salam. Perkara begini jika menjadi ikutan orang lain ianya adalah satu dosa besar yang perlu ditanggung oleh si pemula atau si perintis!
Abang Ad pernah ditertawa dan dipermain bila menyuarakan perkara ini kepada seorang kenalan yang bergiat aktif dalam bidang drama. Katanya apa yang Abang Ad suarakan hanya layak untuk pak-pak lebai dimasjid atau ketika tok guru membaca kitab saja. Masyaallah! Kalau kita tidak menjaga agama kita, siapa yang hendak menjaganya? Perlulah diingat bahawa kita hanya berdrama bukan nak menggadaikan agama!
No comments:
Post a Comment