Sunday, May 3, 2009

LETER-LETER DRAMA (12)


AFFRINI ADHAM : KENANGAN ABADI TERPAHAT DISANUBARI.

AHMAD ARIFFIN. Mungkin ada yang kurang mengenali nama ini. Tapi bila sebut
Affrini Adham atau lebih dikenali sebagai Pak Affrini, ramai yang mengenalinya.

Abang Ad kenal Pak Affrini awal 80-an disuatu majlis sastera di Taman Budaya Alor Star. Pak Affrini yang Abang Ad kenal ialah seorang yang jujur, suka menolong orang, sentiasa tersenyum ketika berbicara, mudah mesra, boleh bergaul dengan semua golongan; orang muda, orang sebaya, orang politik hinggakan menteri, pegawai-pegawai kerajaan atau swasta, peniaga, penjaja, pemandu teksi, penarik beca dan lain-lain.

Setiap petang, bermula jam 2.30 “port” Pak Affrini ialah disebuah pejabat seorang usahawan di Bangunan Serbanika, Telok Wanjah. Pak Affrini akan berada disitu hingga jam 7 petang. Bertemankan sebuah mesin taip lama, Pak Affrini menjadi seorang “petition writer” sambilan. Surat-surat sewa, jual beli tanah, surat nak jumpa menteri, anak nak masuk universiti, komplen tak puashati dan apa-apa surat boleh dikarang oleh Pak Affrini.

Abang Ad dan kawan-kawan boleh kata setiap hari tumpang “tui” disitu. Kami berbincang dan bersembang mengenai perkembangan sastera tanahair. Pak Affrini banyak memberi bimbingan selain menceritakan pelbagai pengalamannya samada berkaitan sastera atau kehidupan biasa.

Jika tiada disitu, Pak Affrini akan kepejabat Koperasi Penulis melangsaikan kerja-kerja disana.

Pak Affrini tidak boleh duduk diam. Selalunya jika lapang, pada sebelah pagi tempatnya ialah diperpustakaan awam Alor Star.

Selain itu hobi Pak Affrini ialah memungut bahan-bahan bacaan yang dibuang orang seperti suratkhabar, majallah dan sebagainya. Kertas-kertas yang sebelah belakangnya kosong dan masih boleh diguna juga akan dipungut oleh Pak Affrini untuk dijadikan kertas deraf.

Pak Affrini cuma berbasikal sahaja kalau meronda bandar Alor Star. Walaupun boleh memandu, tetapi beliau tidak punya kereta. Kalau Abang Ad datang dan Pak Affrini tidak ada dipejabatnya, Abang Ad akan kembarkan motosikal Abang Ad dengan basikal Pak Affrini dan rantaikan. Ini bagi memastikan Pak Affrini terpaksa jumpa Abang Ad kerana waktu itu “handset” tidak sepopular sekarang.

Pak Affrini sering dijemput kemajlis-majlis sastera terutamanya deklamasi puisi didalam dan diluar Kedah.

Suatu hari Pak Affrini beritahu Abang Ad bahawa beliau ada jemputan baca puisi di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Kawan-kawan yang dihubungi tidak dapat membantu membawanya kesana atas pelbagai alasan. Kasihankan Pak Affrini, Abang Ad jadi bidan terjun. Kami bermotosikal kapcai dari Alor Star ke USM kerana kereta Toyota KE30 Abang Ad tersadai dibengkel.

Kami tiba jam 8.30 malam ketika majlis hampir bermula dan mendapat tepukan gemuruh dari hadirin bila pengacara mengumunkan bahawa Pak Affrini cuma memboceng motosikal dari Alor Star sejauh 100 kilomter menghadiri majlis tersebut. Kami bertolak selepas waktu pejabat dan keesokan harinya Abang Ad bercuti kerana kami bermalam di USM.

Malam itu kami bertemu dengan Pyanhabib, Wan Hanafisu, dan ramai penulis Pulau Pinang.

Bila hadir disesuatu majlis Pak Affrini selalu berpesan: kita jangan duduk dalam kelompok atau kalangan kawan-kawan yang kita kenali saja. Kita perlu berkenalan dan bermesra dengan kawan-kawan lain kerana mereka juga sealiran dengan kita. Barulah kita mendapat ramai kawan. Atas sikap itulah Pak Affrini memang mempunyai ramai kawan dan kenalan.

Rumah Pak Affrini di Seberang Nyonya, berhadapan dengan Masjid Zahir Alor Setar cuma dipisahkan dengan Sungai Kedah sering Abang Ad kunjungi. Abang Ad akan beli teh tarik dan beberapa kueh kegemaran Pak Affrini bila Abang Ad kesana. Kalau malas nak berpusing menggunakan jalan darat, Abang Ad akan bersampan dengan tambang 50 sehala kerumah Pak Affrini.

Walaupun hidupnya agak daif Pak Affrini sentiasa ceria. Seorang yang ramah dan sentiasa merendah diri. Pak Affrini sentiasa berpakaian kemas. Baju batik menjadi kegemarannya. Kasutnya sentiasa berkilat. Beg kecil yang didalamnya tersimpan buku nota, pen dan kacamata sentiasa dibawanya kemana-mana. Rumahnya yang sempit penuh dengan buku-buku dan gambar-gambar koleksinya. Semuanya tersusun rapi kerana Pak Affrini seorang yang teliti.

Enam September, 1988 Pak Affrini dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Kedah Darulaman 1987. Ramai kawan-kawan kalangan penulis diseluruh Kedah datang meraikan Pak Affrini. Pak Jihaty (Drs. Jihaty Abadi) dilantik sebagai Pidato Umum. Puzi Hadi diberi penghormatan mendeklamasikan puisi Pak Affrini; Malaya Pasti Merdeka. Majlis akan dimulakan jam 8.30 malam di Dewan Dato’ Syed Omar (telah dirobohkan dan didirikan pusat beli belah) dan akan disempurnakan oleh KDYMM Sultan Kedah Darulaman.

Malam bersejarah itu agak malang kerana bekalan elektrik tiba-tiba terputus di dewan tersebut sebelum keberangkatan tiba Tuanku Sultan.

Walaupun pihak bertanggungjawab puas berusaha, bekalan elektrik tidak juga pulih hinggakan jam sepuluh malam. Majlis terpaksa dibatalkan. Atas titah Tuanku Sultan, majlis diadakan semula keesokan malamnya.

Bermula saat itu, terangkatlah Pak Affrini sebagai tokoh budaya pertama Kedah Darulaman. Maka “saham” Pak Affrini bertambah melonjak. Jemputan datang bertalu-talu berhajat beliau hadir kemajlis-majlis sastera dan budaya.

Mengikut cacatan dibuku cenderamata Majlis Anugerah Budaya Kedah Darulaman 1987 Pak Affrini mula menulis sekitar tahun 1949 dengan menghasilkan 3 buah novel, 2 buah drama, 26 cerpen dan ratusan puisi. Manakala himpunan puisinya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa ialah Ladang Cinta.

Semasa hayatnya Pak Affrini telah dianugerahkan pingat Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah.

Abang Ad agak terkilan kerana semasa Pak Affrini menghembuskan nafas akhir pada 22 September, 2005 dalam usia 78 tahun, Abang Ad berada di Kuala Lumpur atas suatu urusan.

Semoga roh Pak Affrini dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wataala bersama para solihin. Al Fatihah.

(Keterangan gambar: Gambar pertama kali kami bertemu dan berkenalan serta Allahyarham Affrini Adham menerima anugerah Tokoh Budaya)

No comments:

Related Posts with Thumbnails