Sunday, April 26, 2009

LETER-LETER DRAMA (11)



ABDUL HALIM “R”: GURU DAN SAHABAT.

AWAL Januari tahun 1974, Abang Ad melangkah masuk ke perkarangan Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) sebagai seorang pelajar yang ditempatkan di Remove Class. Abang Ad anak kampung yang terpilih memasuki KSAH atas biasiswa Rancangan Khas Kedah. Mula-mula masuk KSAH rasa “perak” sikit kerana sana sini semua orang cakap orang putih. Apatah lagi anak-anak Cina dan India, semua cakap orang putih. Guru Besar masa itu Joginder Singh Jessey. Guru kelas Abang Ad Mr Durbara Singh, seorang pemain tenis yang handal. Beliau juga adalah penyelia petang. Guru-guru yang mengajar Abang Ad yang Abang Ad masih ingat ialah Puan Yeoh Hock Ann (guru kelas Form 1), Mr. Wong Tong Poh, Mr Wai Siew Long (Why So Long?) Mr. Lim Eng Hui (Mr LEH) Ustaz Ghazali Yaacob (Dato’: kini Setiausaha Zakat Negeri Kedah-guru kelas Form 2), Ustaz Abu Bakar Minai, Ustaz Ahmad Mehat, Ustaz Azizan Abdul Hamid( Almarhum - selepas bersara jadi Imam Masjid Tandop) Cikgu Murad Mohd Noor, Mr N. Nagarajah, Mr. R. Thiagarajah, Mr Ganesan, Mr. Ramachandran, Mr. Ooi, Cikgu Md. Salleh, Puan Ainon, Mr. Lim Cheng Moh dan ramai lagi.

Tetapi dalam ramai-ramai guru tersebut, seorang guru yang amat istimewa bagi Abang Ad ialah Cikgu Abdul Halim Haji Salleh. Cikgu Halim orang Kodiang. Beliau selalu mempromosi minyak angin buatan bapanya; Haji Salleh Kodiang: Minyak Ajaib. Cikgu Halim seorang yang kuat merokok. Kalau tak silap Abang Ad, Cikgu Halim hisap rokok Rothmans. Masa itu beliau memandu kereta Ford Escort warna merah hati. Cikgu Halim dengan rambut berketak remos ala P. Ramlee gemar memakai baju berjalur atau berpetak-petak. Seluar pun begitu, berjalur halus atau berpetak halus. Kasut yang dipakai ketika itu kasut Johnson ala boot yang berzip atau kasut Clark baldu separas buku lali. Cikgu Halim memang seorang yang cukup bergaya. Kalau hari Ahad, semasa perhimpunan didalam dewan, Cikgu Halim akan memakai talileher berjalur sebesar tapak tangan! Kadang-kadang pakai talileher kecil ala P. Ramlee. Memang Cikgu Halim seorang yang menjaga imej sejak dulu hingga sekarang. Tetapi beliau adalah seorang yang suka merendah diri dan berhati-hati dalam tutur katanya.

Cikgu Halim seorang guru Bahasa Melayu. Beliau memang pandai berpantun. Beliau selalu mempromosi buku tulisannya: Pantun Serbanika dan novel Buas. Abang Ad cukup tertarik dengan perwatakan Cikgu Halim. Beliau nampak serius ketika mengajar tetapi suka bercerita dan kadang-kadang membuat lawak. Abang Ad memang gerun bila memasuki kelas Cikgu Halim. Beliau akan marah sampai merah muka jika ada kesilapan ejaan atau guna tatabahasa yang salah dalam tulisan atau karangan Bahasa Melayu. Kadang-kadang terhambur kata-kata pedih: nama saja orang Melayu, tulis bahasa Melayu pun tak reti!

Demikianlah seriusnya Cikgu Halim dalam mempertahankan Bahasa Melayu. Setelah Abang Ad meninggalkan alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, Abang Ad menyertai persatuan penulis: Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) Disitu Abang Ad bertemu semula dengan Cikgu Halim: Abdul Halim “R”. Kalau sebut Abdul Halim Haji Salleh, mungkin orang akan tertanya-tanya. Tetapi jika disebut Abdul Halim “R”, rata-rata khalayak pencinta karya sastera pasti mengenali Cikgu Halim. Bukan sekadar di Kedah malah mungkin seantero Malaysia.

Barulah Abang Ad tahu bahawa Cikgu Halim adalah seorang yang lemah lembut budi bahasanya. Senyuman sentiasa terukir dibibir bila berbicara. Sangat menghormati dan menghargai kawan rakan tanpa mengira usia.

Dikala alam persekolahan dulu Abang Ad tidak mengesan itu semua akibat rasa gerun dengan keseriusan Cikgu Halim. Apatah lagi ketika mengajar suaranya amat kuat. Jerkahannya boleh didengari satu blok sekolah. Demikian seriusnya Cikgu Halim dalam mendidik anak-anak bangsanya demi menguasai dan memartabatkan bahasa sendiri.

Semasa bersama ASASI, Abang Ad bersama Cikgu Halim dan rakan-rakan yang lain sering bertemu dimajlis-majlis berkaitan sastera dan budaya. Hubungan Abang Ad dengan Cikgu Halim bertambah erat. Banyak kenangan-kenangan Abang Ad bersama Cikgu Halim ketika mengendalikan bengkel penulisan dan menguruskan hal-hal persatuan.

Cikgu Halim juga seorang yang bersifat gigih dan sanggup memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sesiapa saja yang berminat untuk belajar menulis atau ingin mengetahui latarbelakangnya sebagai seorang penulis. Abang Ad rasa penuntut-penuntut pusat pengajian tinggi patut mengambil kesempatan ini. Datanglah interbiu Cikgu Halim. Pasti beliau akan beri kerjasama. Cikgu Halim tidak mengira masa atau wang ringgit. Beliau amat cintakan bahasa dan budaya Melayu. Cikgu Halim adalah seorang pencinta Bahasa Melayu yang tulin. Beliau memang mahir berpantun. Mampu mencipta pantun secara spontan yang mana rima dan bahasanya tersusun kemas. Setakat ini di Kedah, tak ada siapa yang boleh “celen” atau “teng” Cikgu Halim. Beliau memang nombor satu. Begitu juga dengan bahasa-bahasa Kedah lama, Cikgu Halim memang cukup mahir. Tanyalah beliau apa makna dan definasi perkataan segagan, pereyam, teng, mengeroh, kecok, berlepong, terbungking, terkejung, terkedang, terhenam, terdehak, kedehok, kelolo, mengkala, mengkalu dan lain-lain. Pasti Cikgu Halim boleh jawab dengan mudah. Cikgu Halim juga seorang sejarahwan ulung selain Dato’ Wan Shamsudin Mohd Yusof. Tanyalah sejarah tentang kampung halamannya; Kodiang, pasti beliau boleh perinci satu persatu. Tetapi jika ditanya perkataan "R" dihujung nama penanya, beliau akan menjawab : Rahmi, nama isteri kesayangannya. Tetapi Abang Ad tahu "R" itu membawa maksud yang lain!

Cikgu Halim cuma bersara dari lapangan perguruan, tetapi diarena sastera dan budaya tanahair, sumbangan dan buah fikiran serta mata pena Cikgu Halim pastinya tidak akan tumpul.

Gelaran Dato’ yang dianugerahkan kepadanya memang tepat dan berbaloi. Tahniah bekas guruku; Ybgh. Dato' Haji Abdul Halim bin Haji Salleh....semoga sejahtera dan diberkati Allah sentiasa. Amin.

(Gambar atas: Cikgu Halim kanan sekali menopang dagu. Ditengah ialah Haji Safirol Haji Hashim (Allahyarham - Bekas Adun Bukit Raya) dan kiri sekali Sdr Shaidun Haji Shaari. Gambar ini diambil disuatu majlis Sembang Sastera di Balai Seni Alor Star pada tahun 80-an)

1 comment:

Seluar Dalam Merah said...

Seronok baca semua entri abang ad..Nak2 sekarang saya sendiri tengah belajar menulis skrip..hehehehe

Sila layari;
seluardalammerahku@blogspot.com

Related Posts with Thumbnails