Friday, April 24, 2009

LETER-LETER DRAMA (10)


NOSTALGIA WAYANG PACAK

Tahun 60-an dan 70-an, zaman Abang Ad masih kanak-kanak dan praremaja, wayang pacak Jabatan Penerangan sentiasa ditunggu-tunggu. Selalunya wayang pacak akan ditayangkan dipadang sekolah atau ditempat lapang dengan memacakkan skrin kain putih yang besar. Dikampung Abang Ad biasanya wayang pacak ditayangkan didalam bendang selepas menuai tetapi mestilah musim kemarau. Bukan penduduk kampung berkenaan sahaja yang menonton wayang tersebut, tetapi turut ditonton oleh penduduk-penduduk kampung lain, terutamanya anak-anak muda yang sanggup berbasikal berbatu-batu semata-mata kerana dahagakan hiburan dan memeriahkan suasana.

Jika sebelah siangnya ada kenduri kahwin, pada sebelah malamnya selalunya akan ditayangkan wayang pacak bagi memeriahkan majlis perkahwinan. Perkara ini akan diuruskan oleh orang-orang kuat belia atau politik dikampung tersebut.

Filem-filem yang ditayangkan adalah filem-filem lama seperti filem-filem P.Ramlee atau lain-lain filem lama lakunan Nordin Ahmad, Mahmud June, Hussein Abu Hassan, Sarimah, Norizan dan lain-lain pelakun terkenal ketika itu. Filem-filem yang ditayangkan antaranya Jalak Lenteng, Mahsuri, Puteri Buluh Betong, Seri Mersing, Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Tajul Ashikin dan lain-lain.

Drama RTM yang Abang Ad paling minat ialah drama Sesat lakunan Rahim Razali dan Sharifah Aini. Satu lagi ialah Bunga Padi Berdaun Lalang lakonan Hussien Abu Hassan dan Mahyon Ismail. Drama ini sering ditayangkan oleh wayang pacak. Sebelum filem cereka ditayangkan, wayang pacak akan menayangkan filem dokumentari keluaran Filem Negara Malaysia untuk tontonan umum. Antara dokumentari yang ditayangkan ialah Makyung, Lambaian Kaabah dan Kisah Hussin yang dirawat dihospital sakit jiwa Tampoi.

Semasa filem sedang rancak ditayangkan, tiba-tiba filem diberhentikan. Selalunya ianya akan diberhentikan ketika pertarungan hebat sedang berjalan. Terdengar keluhan penonton. Pegawai Penerangan akan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menyampaikan ceramah pembangunan dan penerangan dasar-dasar kerajaan. Masa inilah penjual aiskrim, rojak, kacang rebus, kacang putih, makanan ringan seperti sotong kering mesin, gula kapas, bertih jagung dan minuman sibuk melayan pelanggan. Harganya pula bukanlah macam sekarang. Sebungkus kacang rebus atau kacang putih yang sama besar bungkusannya seperti sekarang ini cuma tiga puluh sen sahaja!

Zaman itu juga selain wayang pacak Jabatan Penerangan ada lagi wayang pacak yang ditayangkan oleh syarikat minuman seperti Milo dan Coca-cola. Biasanya syarikat-syarikat ini akan menayangkan cerita-cerita perang atau koboi dari filem inggeris.
Mereka mempromosi minuman dari syarikat mereka. Harga yang dijual adalah harga istimewa. Satu cawan Milo kalau tak silap Abang Ad, cuma dua puluh sen sahaja.

Demikian hiburan yang terdapat pada zaman kanak-kanak Abang Ad. Bagi para gadis dan teruna, tak kurang juga yang bertemu jodoh ketika wayang pacak. Mungkin mereka telah bercucu cicit sekarang ini jika mereka masih ada! Selamat berbahagia hingga ke akhir hayat.

1 comment:

wahaborangtanjung said...

Abang Ad telah mengembalikan satu nostalgia yang membuat saya tersenyum sendirian. Saya juga berkenalan dengan isteri saya disuatu tayangan wayang pacak di Seberang Prai. Beberapa tahun bercinta akhirnya kami kahwin. Filem yang ditayangkan ialah Sri Mersing. Clearrr Abang Ad.

Related Posts with Thumbnails