Sunday, February 1, 2009

LETER-LETER DRAMA (9)


GEMILANGAN DRAMA RADIO ERA 60-an, 70-an dan 80-an.

Pada tahun 60-an dan 70-an, siapa yang tidak kenal pelakun Jah Lelawati dengan ketawa mengilainya dan Osman Zailani dengan suara garaunya. Walaupun mereka adalah pelakun radio Singapura, tetapi nama mereka cukup popular di Malaysia kerana pada zaman tersebut siaran Radio Bahagian Melayu Singapura boleh diikuti hingga ke Utara Semenanjung.

Abang Ad masih ingat, tahun 60-an Abang Ad masih kanak-kanak lagi. Abang Ad mencari wayar yang agak panjang dan diikat pada ariel radio manakala penghujung wayar satu lagi Abang Ad ikatkan pada tin susu yang diikatkan pada buluh yang dicacakkan diluar rumah semata-mata untuk mendapatkan siaran yang lebih jelas bagi mengikuti drama radio dari Singapura. Pada sebelah siangnya Abang Ad menjemur bateri cap kambing sejumlah enam biji dipanas matahari; seolah-olah mengecasnya untuk menambahkan kuasa bateri! Demikian kuatnya tarikan minat terhadap drama radio pada zaman itu.

Era 70-an hingga 80-an drama radio dari RTM; Radio Malaysia Kuala Lumpur juga tidak kurang hebatnya. Drama Kebun Pak Awang, Fajar DiBumi Permata, Panggung Drama, Sandiwara Radio, No. 5 Persiaran Satu, Bila Kelopak Berkembang, Telatah Pak Tani, Purbawara Radio dan banyak lagi. Tetapi yang skrip Abang Ad tidak boleh masuk ialah rancangan terbitan Kak Chah (Habsah Hassan); Bila Kelopak Berkembang. Abang Ad cukup hairan kenapa Kak Chah tidak pernah memilih skrip Abang Ad untuk siaran!

Pada era tersebut, drama di TV ialah Drama Minggu Ini yang diterbitkan oleh Roslee Jalil, Abdul Rahman Hamid, Abdullah Zainol, Zahora Gany Bathusha dan ramai lagi. Manakala penyunting skripnya ialah ATONDRA (Haji Mohd Nordin Abdul Rahman yang menghimpun pingat PJK nya dari hampir seluruh negeri di Malaysia) dan Ramlah Md Jalee (seorang OKU yang Abang Ad cukup kagum dengan kebolehan dan kegigihannya)

Sesudah itu muncul pula drama bersiri Opah yang turut dilakunkan oleh Yasmin Yusoff dan Mustaffa Noor yang sentiasa dinanti-nantikan penonton setia RTM. Begitu juga dengan drama bersiri Santan Berlada yang turut mempopularkan nama pelakun Os.

Pelakun-pelakun popular pada ketika itu antaranya Aziz Singah, Baharuddin Haji Omar, Khatijah Abu Hassan, Ismail Hudson, Zainordin Ismail, Rahim Razali, Hussein Abu Hassan, M. Osman, Afida Es, Fauziah Nawi, Fauziah Samad, Noraini Hashim, Rubiah Suparman, Normah Damanhuri, Asmahani Husin, Nancy Foo, Margaret Tan, Lai Joo Lian, Abu Bakar Omar, Omar Abdullah, Ismail Din, Yalal Chin, Ahmad Tarmimi Seregar, Karim Latif, Abu Bakar Juah, Mohamad Abdullah, Ahmad Busu, Khairul Azhar, Tawil, Abdullah Abdul Rahman, Omardin Kardin, Sidek Hussin, Marlia Musa (pelakun kanak-kanak), Aziz M. Osman (pelakun kanak-kanak), Asdayanti Daut (pelakun kanak-kanak; pelakun drama Jodoh karya Abang Ad) Omar Manan, Sani Ahmad, Musa Al Bakri, Samat Arshad, Razali Buyung, Zaiton Hussein, Asiah Sarji dan ramai lagi.

Zaman tersebut drama baik diradio dan di TV cukup meriah. Siapa yang tidak kenal dengan nama pelakun yang disebutkan itu. Siapa yang tidak kenal dengan telatah Pak Chat lakunan Ahmadi Hassan dengan loghat Kedah nya dalam Fajar Dibumi Permata. Siapa yang tidak kenal dengan telatah Sani Ahmad atau Baharuddin Haji Omar dengan loghat Perak dalam drama-drama lakunan mereka. Siapa tidak kenal Ishak Ubah dengan peranan Sahak atau Abu Bakar Ahmad (Pak Awang) dalam drama Kebun Pak Awang.

IPTAR (Institut Penyiaran Tun Abdul Razak) yang terletak bersebelahan Angkasapuri adalah sebuah pusat latihan kakitangan Jabatan Penerangan dan Penyiaran. Para penulis juga dijemput untuk mengikuti kursus-kursus penulisan skrip yang dianjurkan disitu. Semasa kursus para penulis didedahkan pelbagai teknik menulis oleh penulis-penulis terkenal seperti Malina Manja (Bidin Subari), Syed Alwi, Johan Jaafar, Othman Haji Zainuddin (yang begitu popular dan begitu banyak sekali skrip dramanya baik radio atau TV menjadi pilihan RTM), S.A. Takiyuddin, Adibah Amin dan ramai lagi. Penerbit-penerbit dari bahagian drama radio dan TV juga dijemput untuk memberikan ceramah dan bimbingan. Antara penerbit-penerbit popular ialah Norela Samad, Rukiah Haji Ramlan, Mahani Ujang, Habsah Hassan, Razali Buyung dan beberapa lagi.

Semasa berkursus, para penulis dibawa melawat kestudio untuk melihat sendiri rakaman drama radio dan TV untuk memudahkan penulis mencipta skrip. RTM juga sedia memberikan kerjasama dengan menghantar penerbit-penerbit bahagian drama radio atau TV untuk memberikan ceramah kepada peminat dan bakal-bakal penulis jika dijemput oleh mana-mana persatuan penulis yang mengadakan kursus penulisan drama diseluruh negara.

Pada tahun 80-an, bila Abang Ad mula mencipta nama, Abang Ad juga terlibat dalam banyak ceramah-ceramah penulisan skrip drama samada anjuran persatuan penulis atau Jabatan Belia bersama-sama rakan seperjuangan seperti M.Z. Halim Hassan, Azizi Abdullah, Shamsuddin Tahir, Amelia Hashim dan ramai lagi.

Demikianlah usaha RTM dalam melahirkan ramai penulis skrip drama radio dan TV ketika itu kerana drama dilihat sebagai salah satu ejen penyebaran maklumat dalam bentuk hiburan terhadap pendengar dan penonton. Namun kini semuanya itu semakin terhakis. Apakah drama radio atau drama TV terbitan RTM tidak lagi relevan kepada rakyat Malaysia masakini?

Kini yang muncul ialah drama-drama swasta di kaca TV yang adakalanya tidaklah sehebat mana serta lebih cenderung untuk mencari keuntungan dan kini lebih berminat pula terhadap cerita-cerita jenayah, tahyul dan lawak bodoh yang memaksa penonton ketawa!

(Tulisan ini berdasarkan kepada memori Abang Ad semata-mata tanpa membuat rujukan dari mana-mana sumber. Maaf kalau Abang Ad tersilap atau terlupa sebut mana-mana nama yang berkaitan. Juga maaf jika Abang Ad tidak sebut nama-nama rakan penulis lain yang sepersatuan yang tiada kaitan dengan drama)


No comments:

Related Posts with Thumbnails