Friday, January 2, 2009

LETER-LETER DRAMA (5)

ABANG AD NI GILA GLAMOUR KA?

Ada orang hantar email marah-marah pada Abang Ad kerana mendedahkan banyak ilmu-ilmu mengenai penulisan skrip melalui blog. Kata sipengirim email, Abang Ad ni gila glamour kerana beri ilmu secara percuma pada orang lain sedangkan Abang Ad boleh buat duit. Katanya lagi, mungkin apa yang Abang Ad lakukan ini boleh menjejaskan pihak-pihak yang menyediakan kursus penulisan secara berbayar. Ingin Abang Ad tegaskan bahawa Abang Ad amat kecewa dengan sikap orang-orang yang kedekut ilmu. Lantaran itu Abang Ad berkeputusan memberikan segala ilmu yang Abang Ad ada dan mampu secara percuma sahaja kepada sesiapa yang berminat. Memang didalam dunia sekarang ini kata kebanyakan orang, tidak ada yang percuma. Tapi bagi Abang Ad, takkan semuanya mesti berbayar?

Kita boleh mendapatkan ilmu melalui kursus atau bengkel penulisan, tapi mesti berbayar. Kita boleh mendapatkan ilmu melalui buku, tetapi mesti dibeli. Apa salahnya kalau Abang Ad berikan secara percuma?

Abang Ad tabik kepada Amaruszati dalam web “menudrama” kerana menyiarkan beberapa contoh skrip drama radio yang telah disiarkan. Tetapi beliau tidak memberikan bimbingan dan penerangan mengenai penulisan skrip drama. Begitu juga kepada Muhammad Isa Al-Jambuli dalam “anakbungsu’s home page” yang menyiarkan skrip drama pentas dan TV.

Abang Ad percaya bahawa mereka berdua juga mempunyai pendapat dan fikiran yang serupa dengan Abang Ad: apa salahnya kalau sedikit ilmu yang ada disebarkan kepada orang lain. Ilmu yang ada pada kita tidak akan luak walaupun diberikan kesemuanya kepada orang lain!

Abang Ad banyak buka web mengenai penulisan skrip tetapi setakat ini tidak terjumpa penulis-penulis terkenal Melayu Malaysia yang memberikan contoh skrip drama mereka secara percuma untuk diteliti peminat. Jika ada pun, mestilah berbayar!

Namun tak apalah, masih ada penulis-penulis bilis yang “gila glamour” macam Abang Ad ni sanggup memberikan khidmat secara percuma kepada bakal-bakal penulis yang tercari-cari tempat untuk mendapatkan bimbingan.

Al Faqir Ilallah
NASIR BIN AWANG

No comments:

Related Posts with Thumbnails