Monday, December 14, 2009

LETER-LETER DRAMA (22)


MELANGKAH KE GERBANG 2010

Dalam kesibukan meredah kemeriahan Disember yang merupakan bulan bersatu dua jiwa, bertaut kasih senada teruna dan dara, berkumpul sanak saudara meraikan kenduri kendara dan dalam masa yang sama ibu bapa sibuk memilih pakaian sekolah anak-anak hinggakan kocek kempis tak terasa, rupanya kita hampir memasuki gerbang 2010.

Begitu juga Disember diserikan lagi dengan kepulangan sanak saudara serta kawan rakan dari menunaikan haji. Wajah-wajah mereka kelihatan berseri-seri. Tahniah kerana telah selamat menjalankan ibadah haji. Semoga mendapat haji yang mabrur.

2009 mencatatkan pelbagai rona-rona peristiwa terutamanya alun politik yang kadangkalanya mengeliru dan menggelikan hati kita!

Kalau dalam politik soal lompat parti, pijak kepala kawan, tikam dari belakang, kawan jadi lawan serta sebaliknya dan bodek-membodek adalah perkara biasa. Malah lebih dahsyat lagi jika seseorang pemimpin itu telah jatuh atau bersara dia akan di tibai habis-habisan tanpa rasa hormat atau kenang jasa jika dia mengeluarkan sesuatu pendapat yang agak pedas padahal semasa berada dipuncak dia disanjung, dihormati dan disegani malah tiada siapa berani menegur! Demikianlah drama politik. Tapi apa yang Abang Ad masih ingat, seorang Cina pomen pernah berkata: kalau lu mau masuk politik, lu jangan betui sangat nanti orang marah dan lu jangan banyak tak betui, nanti orang marah juga!

Itu drama politik. Tapi drama yang difilemkan untuk menghiburkan orang lain, janganlah demikian jadinya. Sebabnya orang-orang yang terlibat dengan drama atau filem adalah orang-orang yang kreatif serta halus jiwa seninya.

Orang yang kreatif dan halus jiwa seninya adalah orang yang cintakan perdamaian, keindahan dan ketenangan. Orang-orang yang begini mempunyai cita-cita yang besar-besar adakalanya melangkaui cita-cita golongan lain.

Orang-orang sebegini tidak sepatutnya banyak mencalit onar didalam dunia seni. Orang-orang begini adakalanya menjadi ikon kepada masyarakat terutamanya golongan muda yang bakal menjadi pewaris masa hadapan.

Apabila kita menjadi ikon atau perhatian umum, sanggupkah kita menunjukkan teladan buruk serta menjadi cemuhan orang? Benar, kita adalah manusia seperti orang lain juga, tetapi bukanlah mustahil kalau kita menjaga nama baik supaya tidak dicerca orang. Kita perlu membatas atau membuang terus sikap buruk yang ada pada kita.
Sesama kita dan juga terhadap orang tidak perlulah kita menipu. Tukang bikin drama atau filem janganlah tipu tukang tulis skrip. Janganlah tipu tukang pelakun dan sebagainya. Kalau kita penat bekerja, orang lain pun penat juga. Orang lain pun makan nasi juga bukannya makan pasir.

Apa yang cuba ditonjolkan ialah penghargaan. Kalau pihak kerajaan memberikan bintang dan pingat kebesaran kepada golongan artis dan seniman sebagai menghargai jasa dan sumbangan terhadap perkembangan dan teknologi seni tanahair malah dilantik pula sebagai senator bagi mewakili golongan seperti kita, kenapa kita sendiri tidak menghargai sesama kita?

Kenapa kita sesama kita bercakaran hingga terpaksa membuat penyelesaian dihadapan tuan hakim? Kenapa golongan artis dan seniman dipandang lekeh walaupun ada yang hidup mewah? Semuanya itu ada kaitan dengan maruah dan harga diri.

Maruah dan harga dirilah yang menimbulkan rasa hormat orang lain terhadap kita. Jika kita tidak menjaganya dengan baik, masyarakat akan hilang rasa hormat terhadap kita.

Kita tentunya mempunyai keazaman masing-masing untuk melangkah kegerbang 2010. Bagi orang seusia Abang Ad 2010 terasa terlalu sayup jarak perjalanan hidup. Namun syukur, kita masih mampu melangkah!

Melangkah kegerbang 2010 kita mengharapkan penghargaan dari peminat-peminat filem kita. Keadaan filem kita ibarat sinar ditelan kabus. Untuk mengembalikan penghargaan peminat, filem kita mestilah dapat menghiburkan mereka. Kalau filem yang kita hidangkan tidak dapat menghiburkan mereka, bagaimana mereka harus memberi penghargaan kepada kita?

Bukan salah peminat kalau filem yang di hasilkan tidak mendapat sambutan. Penampilan pelakun-pelakun hebat lagi popular bukan tiket untuk menarik perhatian penonton. Skrip yang kemas, jalan cerita yang menarik dan pengarahan yang teliti serta gaya penggambaran yang menarik merupakan tarikan utama. Peminat jarang mempertikaikan lokasi penggambaran. Walaupun lokasi kurang menarik tetapi jika jalan cerita ditambah dengan corak pengarahan yang menarik, tentunya meruntun jiwa peminat untuk menontonnya. Sama-samalah kita berusaha memartabatkan filem kita.

5 comments:

Lailatul said...

Tulisan ini menarik. Saya baca berkali-kali. Tahniah atas idea bernas Abang Ad.

Lailatul said...

Tulisan ini menarik. Saya baca berkali-kali. Terima kasih atas idea bernas Abang Ad.

Qaleesya90 said...

Kenape abang tak beri ceramah kat radio atau mana-mana bengkel penulisan. teringin saya nak ikut serta.

manjitra said...

memang benar maruah dan harga diri yang buat orang hormat pada kita. kalau harta menimbun dan duit berjuta orang tak hairan kalau kita tidak menjaga maruah dan harga diri.

Jamie Gadis Desa said...

first time saya buka blog ini saya dapati banyak information yang cukup berguna. terima kasih atas usaha anda.

Related Posts with Thumbnails