Thursday, December 4, 2008

APAKAH YANG DIKATAKAN DRAMA?

Sebelum anda menulis sebuah skrip drama, anda tentu nak tahu apakah itu drama. Anda tentu pernah mendengar drama radio, sering menonton drama/telefilem atau filem di TV juga dipawagam. Mengikut kata pakar-pakar, drama ialah satu rakaman perlakuan/kehidupan manusia yang dilakonkan semula untuk pendengaran atau tontotan umum. Maknanya kebanyakan drama atau filem yang kita tonton saban hari itu ialah mengenai pelbagai perlakuan manusia.

KENAPA KITA NAK TULIS DRAMA?

Kebanyakan orang yang menulis drama (atau lain-lain genre) ialah kerana mereka mempunyai bakat semulajadi anugerah Allah. Melalui bakat itulah mereka meluahkan idea dan rontaan perasaan yang bersarang disanubari melalui karya mereka. Mereka akan berasa puas bila idea dapat dicurahkan untuk dikongsi bersama orang lain. Ada orang yang tidak begitu berbakat, tetapi mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap penulisan skrip drama. Hasil usaha mereka akhirnya mereka berjaya menjadi penulis drama dikagumi. Menulis drama merupakan satu dari cabang untuk meluahkan idea rasa seni untuk dipersembahkan kepada orang lain. Bila orang lain terhibur, kita akan terhibur.

SKRIP DRAMA, APA ISTIMEWANYA?

Skrip drama berbeza daripada novel dan cerpen atau puisi. Bagi novel dan cerpen, pembaca akan dijelaskan secara terperinci tentang sesuatu situasi dan latar bagi sesuatu peristiwa yang berlaku melalui penerangan pengarang. Tetapi dalam sesebuah naskhah skrip drama, seseorang pembaca hanya akan diberikan gambaran umum (deskripsi) tentang sesuatu situasi, latar atau tempat, dan dialoglah yang akan menyampaikan mesej dan pemikiran pengarang. Hal inilah yang membezakan drama daripada karya sastera yang lain. Skrip drama yang baik akan dapat memberikan gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan boleh menimbulkan perasaan marah, gembira, lucu, dan seumpamanya. Sebuah drama yang baik juga harus mempunyai unsur suspens, ketegangan dan seharusnya mampu membina rasa ingin tahu pendengar atau penonton apakah kesudahan drama tersebut.

PENDUKUNG WATAK/PELAKUN

Sebuah skrip drama mesti mempunyai watak-watak yang mampu membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang menjadi cerita, dan bakat lakunan merekalah yang menghidupkan cerita. Oleh itu watak adalah penting dalam sesebuah dalam drama. Wataklah yang menggerakkan plot cerita. Dalam sesebuah drama terdapat watak utama dan watak sampingan. Selalunya dalam sesebuah drama terdapat satu atau dua watak utama. Watak pertama ialah watak yang menyokong idea penulis. Watak kedua ialah watak yang menentang idea penulis. Mudahnya, watak baik (positif) dan watak jahat (negatif). Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah yang membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak sampingan ialah watak-watak yang lain yang menyokong untuk menghidup dan memeriahkan jalan cerita hingga ke akhir.

PLOT

Plot sangat penting dalam pembinaan struktur drama. Plot adalah struktur drama yang dibina melalui dialog dan aksi setiap watak. Dialog terbina melalui kata-kata atau bahasa. Melalui dialog inilah konflik dan perkembangan cerita berlaku. Konflik memainkan peranan yang cukup penting dalam membangunkan struktur sebuah drama. Bertolak daripada konflik dan ketegangan inilah sesuatu peristiwa digerakkan dan dilanjutkan perkembangannya hingga kepada peleraiannya atau kesimpulan cerita.

BABAK

Bahagian dalam drama yang menjelaskan peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat dan masa disebut babak. Pertukaran latar tempat dan masa membawa perubahan babak.

BAHASA/DIALOG

Asas sebuah drama ialah perkataan atau dialog. Drama terbina oleh dialog dan aksi. Oleh itu, bahasa yang menjadi asas perkataan adalah elemen yang cukup penting bagi sesebuah drama. Daripada bahasa yang dituturkan oleh pelakon itu, pemikiran dan gagasan pengarang disampaikan. Sesebuah drama yang baik akan menggunakan bahasa yang ringkas, padat dan mudah difahami supaya berkesan kepada penonton. Ringkasnya, menggunakan bahasa pertuturan harian. Bukannya bahasa surat atau bahasa berbunga-bunga seperti novel, cerpen atau puisi. Gaya bahasa atau dialog yang meleret dan sukar difahami akan menyebabkan pendengar dan penonton bosan dan akhirnya hilang tumpuan. Gaya bahasa dalam sesebuah drama akan memberikan latar zaman, masyarakat dan tempat. Justeru itu, dialek sesuatu daerah boleh digunakan oleh sesuatu watak untuk menghidupkan lagi perwatakannya, tetapi pastikan yang pendengar dan penonton dapat memahami dialek tersebut. Kekuatan sesuatu watak itu terpancar daripada cara dialog yang diucapkannya. Watak yang gagal mengucapkan dialog mengikut sesuatu keadaan lakunan akan sukar menarik perhatian penonton. Oleh itu, pemilihan ayat atau unsur bahasa penting dalam mengekalkan keinginan pendengar dan penonton sesebuah drama.

JENIS-JENIS DRAMA

Terdapat tiga jenis drama yang utama, iaitu:
• Tragedi – sebuah drama yang mengisahkan suka duka dan tragisnya kehidupan watak utamanya. Kisah watak utama ini selalunya berakhir dengan tragedi.
• Komedi – Drama ini memaparkan kisahnya dalam bentuk lucu dan menghiburkan. Ceritanya serius, tetapi disampaikan dalam bentuk kelucuan oleh watak-wataknya. Drama ini selalunya digunakan untuk menyindir masyarakat. Plot drama komedi boleh berakhir dengan kepuasan penonton (kegembiraan) dan boleh juga berakhir dengan kedukaan .
• Melodrama – Drama ini bersifat sentimental dan ceritanya sering berkisar pada persoalan keluarga atau wanita. Drama ini selalunya akan menyentuh emosi pendengar atau penonton.


BERAPA PANJANG/LEMBARAN SESUATU SKRIP?
1. Skrip drama radio 15 minit.
9 muka surat ditaip langkau dua menggunakan Times New Roman 12 point.
2. Skrip drama radio 30 minit.
18 – 20 muka surat.
3. Skrip drama radio 45 minit
25 -27 muka surat
4. Skrip drama tv/telefilem/filem
120 -150 muka surat.
5. Skrip sitcom tv 30 minit
50 – 60 muka surat
(angka yang diberikan merupakan anggaran sahaja)
DARI MANA NAK DAPAT IDEA UNTUK MENULIS?
Idea boleh datang dengan macam-macam cara. Dari pengalaman, pemerhatian, bacaan, cerita orang, perbincangan dengan kawan-kawan dan macam-macam. Yang penting bila kita dapat idea, kita tahu macamana nak diadunkan untuk dijadikan suatu cerita yang menarik. Anda perlu ada satu buku nota kecil untuk mencatatkan idea yang diperolehi. Ini memudahkan anda untuk mengingat semula idea yang datang semalam atau pagi tadi.
BANYAK PERKARA DAH TAHU, TAPI MACAMANA NAK TULIS?
Ini satu masalah. Orang lain saya tak tahu. Tapi bagi saya inilah masalah yang selalu memeningkan. Macamana nak mula? Idea dah ada, tapi nak mula dimana?
Saya atasi masalah tersebut dengan mengambil jalan mudah: tulis saja apa yang nak tulis. Bantai saja. Tak payah kira plot, tak payah fikir pasal plot, babak dan sebagainya. Kita boleh sunting dan buat susunan kemudian. Sekarang ni apa susah, guna komputer. Bukan guna mesin taip ketuk yang terpaksa buang kertas atau guna cecair pemadam. Kita keluarkan dulu apa yang terkandung difikiran kita, kemudian kita susun semula elok-elok. Bila kita tulis stail ini, percayalah bahawa hasil yang akan kita dapat adalah amat baik sekali dan adakalanya kita sendiri merasa kagum dengan apa yang terhasil. Inilah pengalaman saya selama ini. Tapi semuanya terpulang kepada stail dan ikut keselesaan masing-masing.
PERKARA-PERKARA TERLARANG
Dalam apa-apa hal pun perkara terlarang tetap ada. Demikian juga dengan penulisan skrip drama. Perkara terlarang ialah perkataan/aksi lucah, adegan jenayah melampau, sindiran politik keterlaluan, sentimen agama dan lain-lain perkara yang boeh menimbulkan keresahan dan huru hara yang mengancam kesejahteraan rakyat dan negara. Kalau anda tulis juga, skrip tersebut tentunya akan menjadi koleksi peribadi yang tersimpan di perpustakaan anda serta tidak dapat disampaikan kepada khalayak.
AKHIRUL KALAM
Setelah anda meneliti tulisan ini, diharapkan anda mendapat sedikit pengetahuan tentang kaedah-kaedah penulisan skrip drama. Ia mungkin belum cukup untuk menjadikan anda penulis skrip yang baik . Anda perlu banyak belajar melalui pembacaan dan mendengar/menonton drama. Tulisan ini juga bukanlah yang terbaik. Ia sekadar panduan untuk dikongsi bersama. Saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Saya sampaikan kepada anda dengan ikhlas sekadar ilmu yang terbatas agar sekurang-kurangnya andalah pewaris penulisan skrip dimasa hadapan. Insyaallah.
Al Faqir Ilallah
NASIR AWANG.

No comments:

Related Posts with Thumbnails