Abang Ad minat menulis sejak zaman kanak-kanak lagi. Masa sekolah rendah dulu Abang Ad menulis cerita untuk majallah Dewan Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Semasa remaja dan bersekolah menengah Abang Ad mula menulis skrip drama radio. Drama radio pertama Abang Ad yang disiarkan di radio terbitan Abdullah Hasim dari RTM Ipoh dalam Rancangan Sandiwara Radio bertajuk "KEJERNIHAN" lakunan Adibah Affandi, Rosli Dahamin, Abdullah Hasim dan Maizatul Akmam Yahya disiarkan pada 30/9/1980 jam 4.00 petang menerusi siaran Kawasan Utara.
Bayarannya cuma RM70 untuk siaran 30 minit. Dari hasil tulisan skrip drama, Abang Ad kumpul duit untuk beli mesin taip buruk. Lepas itu bila komputer diperkenalkan, Abang Ad beli komputer murah dan kelengkapannya sekali. Dalam kampung Abang Ad, Abang Ad orang mula-mula sekali beli komputer. Masa itu komputer cuma guna floppy disk, tidak ada lagi hard disk dan macam-macam aksesori canggih macam sekarang.
Abang Ad gembira tak terhingga. Satu kampung tahu Abang Ad tulis skrip drama!
Sejak itu Abang Ad menulis dengan cukup gigih. Banyak skrip-skrip drama radio disiarkan di RTM Ipoh, Pulau Pinang dan Alor Star juga Kuala Lumpur.
Untuk rancangan drama No. 5 Persiaran Satu yang disiarkan setiap hari di RTM Kuala Lumpur terbitan Mahani Ujang tahun 80-an dulu, Abang Ad banyak menyumbang skrip. Begitu juga dengan rancangan Fajar DiBumi Permata terbitan Manan Selamat dari
Unit Pembangunan Pertanian RTM Kuala Lumpur, bertahun-tahun Abang Ad jadi penyumbang skrip bersama rakan-rakan seperti M.Z. Halim Hassan, Sani Ahmad, Aziz Abdul Ghani, Putra Rawana, Jalil Alimon dan beberapa rakan lagi. Demikian juga dengan rancangan Telatah Pak Tani, Anak/Cucu Pak Awang, Panggung Drama dan lain-lain drama terbitan RTM Kuala Lumpur, Abang Ad tidak ketinggalan menyumbangkan skrip. Di RTM Alor Star, Abang Ad banyak menyumbangkan skrip untuk Kuning-Kuning Di Kuala dan Pinggiran terbitan Azmi Omar dan Zainah Shuib. Kemudian rancangan Serambi Pak Ndak terbitan Tengku Abdullah, Hasmah Bahari dan bertukar beberapa penerbit hinggalah rancangan tersebut ditamatkan. Abang Ad juga menjadi penulis tunggal untuk rancangan Keluarga Encik Mohamad terbitan Hasmah Bahari di RTM Alor Star dimana anak Abang Ad, Nor Azira dan anak Saidin Abdullah (Zaidin Abadi) turut menjadi pelakun tetap untuk siri tersebut.
Abang Ad juga pernah menulis cerpen dan pernah disiarkan di akhbar. Tetapi minat Abang Ad terhadap bidang tersebut tidak begitu mendalam.
Rakan-rakan seangkatan Abang Ad dalam bidang penulisan di Kedah termasuklah Shamsudin Tahir, Amelia Hashim, Che Soo Ismail, Zainol Idris, Che Dan Putih, Hashimah Hashim (OKU), Syed Mahadzir Syed Omar, Saidin Ali dan adiknya Rozi Ali, Zaidin Abadi, Samad Wahab (Allahyarham) dan ramai lagi.
Rakan-rakan senior termasuklah Ustaz Azizi Abdullah, Shaidun Haji Shaari, M.Z. Halim Hassan, Abdul Halim "R", Ismail Restu, Osman Ayob, Saad Taib, Puzi Hadi, Zakiah Bahari, Abd. Rahman Ahmad (Allahyarham) Md Noor Salleh (Noorjaya - Allahyarham) Affrini Adham (Allahyarham) Shaari A.B. dan ramai lagi.
Abang Ad tidak pernah menghitung sudah berapa banyak skrip drama yang Abang Ad hasilkan. Tetapi sejak tahun 1980 hingga tahun 2000 Abang Ad tidak henti-henti menulis.
Kini Abang Ad sudah tidak produktif lagi akibat RTM juga sudah mengurangkan rancangan dramanya. Abang Ad cuma menulis jika kawan-kawan dari RTM hubungi Abang Ad minta skrip untuk sesuatu rancangan drama khas. Begitu juga untuk menjaga hubungan dengan kawan-kawan lama Abang Ad di RTM, sekali sekali Abang Ad sumbangkan juga skrip untuk RTM Kuala Lumpur.
Kenapa Abang Ad tak tulis skrip filem?
Abang Ad pernah sumbangkan skrip untuk filem. Begitu juga Abang Ad pernah diminta untuk tulis skrip iklan kempen pelaburan, kempen perayaan dan skrip rencana mengenai suatu produk. Tetapi Abang Ad sangat kecewa dengan sikap orang yang tidak menghargai usaha dan penat lelah orang lain. Sudahlah skrip kita tidak berbayar, karya kita dicincang dan idea kita dicedok hingga luput terus nama kita. Akhirnya cerita kita itu jadi milik orang lain. Inilah punca yang buat Abang Ad tawar hati untuk menulis skrip filem atau telefilem walaupun idea tidak pernah pudar. Ada kalanya kawan makan kawan. Puncanya ialah wang ringgit. Abang Ad benar-benar kecewa!
Kalau anda mahu menyumbangkan skrip untuk mana-mana syarikat penerbitan swasta, anda perlulah berhati-hati dan gunakan kebijaksaan anda. Jangan terlalu ghairah menyerahkan skrip anda kepada mereka. Mungkin skrip anda itu kurang menarik, tetapi idea anda adalah cantik. Mereka boleh mengubah dan edit serba sedikit, lantas anda akan hilang hak. Ingatlah pesanan Abang Ad: amat susah orang hendak memberikan wang kepada kita melainkan orang mahukan wang dari kocek kita!
Arsenal vs Nottingham Forest LIVE: Premier League team news, line-ups and
more
-
Follow all the action from Emirates Stadium
1 hour ago
1 comment:
Kindly pls call/sms me ambiaq 016-3381858 regarding the penulisan skrip
Post a Comment